PROSES PEMILIHAN MPPUSM 2016/2017 BERJALAN LANCAR
PULAU PINANG, 13 Oktober 2016 - Proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Universiti Sains Malaysia(USM) bagi sidang 2016/2017 telah berjalan dengan lancarnya apabila ketiga-tiga kampus USM telah mengumumkan keputusan pemilihan petang ini.
Proses pemilihan yang berjalan serentak di ketiga-tiga kampus awal pagi tadi telah berjalan dengan sempurna tanpa ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein turut mengucapkan tahniah kepada calon yang menang dalam pemilihan kali ini dan berharap mereka dapat memikul amanah sebagai pemimpin pelajar dengan cemerlang.
"Pikul amanah dan kepercayaan yang telah diberikan oleh para pelajar supaya dapat menaikkan nama universiti di mata masyarakat," tambahnya.
Katanya lagi, setiap pemimpin pilihan pelajar ini juga perlu menanamkan sikap bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan para pelajar serta menggunakan platform Majlis Perwakilan Pelajar ini sebagai penghubung kepada para pelajar USM.
Beliau yang sebelum itu mengumumkan keputusan PMPP sidang 2016/2017 bagi kampus Induk yang dijalankan secara serentak melalui telesidang bagi ketiga-tiga kampus USM kira-kira jam 6 petang tadi.
Seramai 8220 orang pelajar turun membuat pemilihan bagi ketiga-tiga kampus dengan menggunakan rangkaian elektronik e-Pilih yang buat pertama kali dijalankan menggantikan sistem e-Kira yang yang dijalankan sebelum ini.
Di kampus induk sebanyak 29 kerusi dipertandingkan melibatkan enam kerusi umum dan 23 kerusi Pusat Pengajian manakala 15 kerusi Pusat Pengajian telah diumumkan menang tanpa bertanding.
Sementara itu, calon Konstituensi Umum yang menerima pemilihan terbanyak pada kali ini, saudara Tan Kar Yap, 22 menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pelajar yang memilihnya pada kali ini.
"Saya berharap yang diri sentiasa positif dalam melaksanakan urusan dan tanggungjawab ini dalam membantu pengurusan universiti meningkatkan kualiti yang sedia ada dengan penjenamaan semula ke arah transformasi yang lebih berkesan," kata pelajar tahun tiga dari Pusat Pengajian Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan ini.
Anak kelahiran Johor ini turut berpesan kepada rakan-rakan seperjuangannya supaya sentiasa mengutamakan agenda mengetengahkan suara pelajar dalam soal kebajikan, isu semasa dan hak pelajar.
Calon dari Pusat Pengajian Komunikasi yang turut menerima pemilihan kedua tertinggi bagi kerusi Konstituensi Umum, Farah Anis Azira Azeman, 21 berpendapat proses pemilihan menggunakan kaedah e-Pilih ini lebih telus dan berintegriti selain dapat menjimatkan masa yang diambil dalam proses pengiraan.
"Saya akan menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh pelajar USM dalam menjaga kebajikan mereka dalam semua aspek," tambah anak kelahiran Pulau Pinang ini.
Kedua-dua calon ini mendapat pemilihan tertinggi bagi kampus Induk iaitu sebanyak 4345 dan 4130 undi.
Teks: Syuhada Abd Aziz
Foto: Ebrahim Abd Manan
- Created on .
- Hits: 1040