USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KECACINGAN BUKAN HANYA MASALAH KANAK-KANAK

1476329833900

KUBANG KERIAN, 12 Oktober 2016 - Kanak-kanak selalu dikaitkan dengan masalah kecacingan. Ibu bapa dinasihatkan agar memberi anak-anak ubat cacing setiap enam bulan sekali mengikut dos yang ditetapkan. Tetapi sedarkah kita, golongan dewasa juga perlu mengambil ubat cacing sebagaimana kanak-kanak.

Menurut Ketua Jabatan Mikrobiologi Dan Parasitologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zeehaida Mohamed, cacing diklasifikasikan kepada tiga kumpulan iaitu bulat (nematod), pipih (trenatod) dan pita (tape worm).

"Cacing yang sering ditemui adalah cacing gelang (uskaris), cacing cambuk (trichuris), cacing kait (hook worm) dan larva (strongyloides) yang paling banyak ditemui khususnya pada sayur-sayuran seperti salad, pegaga, daun kesum dan kangkung," katanya.

Tambah Zeehaida, kebersihan sayur amat penting untuk mengelak jangkitan cacing ke dalam badan manusia kerana sayur yang kita makan mungkin mengandungi telur atau larva akibat daripada keadaan sayur yang bersentuhan secara terus dengan tanah dan faktor bahan yang digunakan dalam sistem penyiraman sayur.

"Akibat daripada mengambil mudah tidak mencuci sayur dengan teliti membolehkan telur atau larva tersebut masuk ke dalam badan semasa makan terutama bagi sayur yang dimakan mentah dan tidak dimasak, secara tidak langsung kita terdedah kepada jangkitan atau 'transmission'," ujar beliau.

Zeehaida menjelaskan, hasil daripada kajian yang dijalankan terhadap beberapa jenis sayuran seperti pegaga, kangkung, dan salad, menunjukkan sayuran tersebut mengandungi larva cacing jenis strongyloides. 

"Memang masalah kecacingan golongan dewasa tidak membimbangkan tetapi lava atau strongyloides yang ada di dalam tubuh boleh menyebabkan serangan yang lebih serius terutamanya kepada pesakit kanser dan HIV yang mana daya ketahanan badan mereka lemah ditambah mengambil rawatan kimoterapi dan steroid, cacing tersebut berupaya membiak dalam tubuh pesakit dan boleh memendekkan jangka hayat pesakit," ujar beliau lagi.

Ditanya mengenai sayuran yang dimakan di kedai sama ada bersih atau tidak, Zeehaida menjelaskan itu bergantung kepada peniaga yang mana jika mereka rasa bertanggungjawab maka mereka akan memastikan semua sayur dibersihkan dengan baik atau sebaliknya dan kita sebagai pelanggan perlu memilih kedai yang bersih.

Apa yang penting, masyarakat perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan mementingkan kebersihan bukan sahaja persekitaran, tetapi juga dari segi penjagaan kebersihan makanan.  Di samping itu juga, kita harus tanamkan dalam pemikiran bahawa sebagai orang dewasa, kita juga perlu mengambil ubat cacing sebagaimana kanak-kanak untuk kesihatan.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Hafiz Yaacob

  • Created on .
  • Hits: 1963

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024