KELESTARIAN BIODIVERSITI PERLU DIPELIHARA DEMI GENERASI MASA HADAPAN
USM, PULAU PINANG, 11 Oktober 2016 – Krisis kelestarian biodiversiti yang menjadi isu global masa kini perlu diberi perhatian sewajarnya bagi menjamin kelangsungan pembangunan negara masa hadapan.
Presiden Malaysian Primatological Society (MPS) yang juga pakar orang utan dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Mashhor Mansor berkata, isu ini perlu menjadi agenda dan fokus utama masa kini supaya usaha untuk menangani permasalahan yang dihadapi oleh sumber biodiversiti dapat diatasi bersama.
“Antara sebab utama kemerosotan biodiversiti di Malaysia ialah kerana perubahan drastik ke atas ekosistem dan pengeksploitasian yang melampau terhadap sumber marin dan hutan di samping pencemaran air, udara dan tanah,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Seminar Malaysian-Indonesian Biodiversity: Bilateral Cooperation between USM and ITB di sini hari ini.
Seminar anjuran USM dan Institut Teknologi Bandung, Indonesia (ITB) ini bertujuan untuk menyelaraskan usaha kerjasama antara kedua-dua pihak berkaitan kerja-kerja berkenaan pemuliharaan biodiversiti di Malaysia dan Indonesia.
Jelas Mashhor lagi, hampir keseluruhan permasalahan alam sekitar dan kemerosotan ekosistem adalah akibat perbuatan manusia yang tidak menggunakan akal fikiran dalam membuat pertimbangan.
“Tidak dinafikan pembangunan perlu dalam pertumbuhan ekonomi, namun tidak seharusnya memusnahkan alam sekitar dan sumber biodiversiti yang ada di dalamnya.
Justeru kajian awal perlu dilakukan sebelum sesuatu pembangunan dilaksanakan supaya tidak mendatangkan impak negatif kepada ekosistem alam sekitar,” tambahnya.
Timbalan Dekan Penyelidikan, Siswazah dan Jaringan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Madya Dr. Yahya Mat Arip berkata, objektif seminar ini boleh dijadikan platform kepada setiap pakar dalam bidang pengurusan biodiversiti berkongsi pengalaman masing-masing selain mengenengahkan ekosistem biodiversiti sebagai aset yang penting yang harus dipelihara untuk generasi akan datang.
“Kita juga mahu menggalakkan penyelidik dan pihak berkepentingan dalam bidang biodiversiti di dunia untuk berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik mereka berkaitan penjagaan alam sekitar,” jelasnya dalam ucapan perasmian di hadapan kira-kira 50 orang peserta.
Teks: Syuhada Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 1406