SAINTIS USM TERIMA ANUGERAH TOKOH MAAL HIJRAH 1438H
USM PULAU PINANG, 12Oktober 2016 – Saintis yang juga merupakan pakar dalam bidang pembuatan ubat-ubatan herba dari Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zhari Ismail dianugerah Tokoh Maal Hijrah 1438H peringkat USM hari ini.
Pemilihan Zhari berdasarkan kepada kejayaannya dalam bidang farmaseutikal yang telah banyak menghasilkan ubat-ubatan menggunakan ekstrak herba.
“Penghargaan yang diberikan oleh pihak USM kepada saya ini merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai walaupun saya sudah berpencen, namun pihak universiti masih menghargai stafnya,” tambahnya.
Katanya lagi, setiap ahli akademik perlu memainkan peranan yang penting dalam membangunkan nama universiti dalam bidang penyelidikan di samping mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat.
“Pada masa kini, peningkatan negara-negara bukan Islam terhadap produk kosmetik dan ubat-ubatan halal meningkat, oleh itu, penyelidik dari USM haruslah merebut peluang ini supaya dapat menjalankan kolaborasi bersama-sama,” tambahnya lagi.
Antara anugerah yang diterima Zhari sebelum ini ialah penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul 1432H peringkat negeri Pulau Pinang bagi tahun 2011, Anugerah Saintis Halal HDC 2010 dan Anugerah Standard dan Akreditasi 2012 Mosti & Standard Malaysia.
Berlatarbelakang pendidikan dalam bidang Kimia Farmaseutik dari Institut Teknologi Bandung, Indonesia dan University of Strathclyde, Scotland, beliau memulakan kariernya di USM sebagai pensyarah di PPSF pada tahun 1982.
Di samping itu juga, Zhari juga bergiat aktif dalam Persatuan Kakitangan Islam USM di mana beliau merupakan pengasas kepada persatuan tersebut.
Zhari menerima hadiah wang tunai RM 5000.00, sijil penghargaan, seutas jam tangan beserta trofi yang disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 1438H peringkat USM.
Teks: Syuhada Abd Aziz
Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1799