300 ORANG KAKITANGAN USM ANTARA MANGSA BANJIR KELANTAN
KUBANG KERIAN, 3 Januari 2015 - Kira-kira 300 orang kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) adalah antara mereka yang menjadi mangsa banjir yang melanda negeri Kelantan pada hujung Disember lalu.
Antaranya ialah jururawat Hospital USM, Hanun Izzati binti Hamzah, 26, yang baharu berkahwin dan sedang mengandung anak pertamanya.
“Rumah sewa kami turut dihanyutkan banjir dan kami kehilangan segala-galanya dengan kerugian dianggarkan tidak kurang dari RM20,000,” kata Hanun Izzati yang ditemui bersama-sama suaminya Noor Muhammad Rais Hasim, 34, bertugas di sebuah hospital swasta ketika bertemu dengan Menteri Pendidikan II Dato’ Seri Idris Jusoh dan Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman di sini.
Seorang lagi mangsa banjir Penolong Pendaftar Pejabat Perhubungan Awam Kampus Kesihatan, Mohd Rodin Che Yusoff yang ibu bapanya tinggal di antara kawasan yang paling teruk dilanda banjir Kuala Krai berkata, keadaan di sana amat mendukacitakan dengan rumah yang dihanyutkan air dan keluarganya terpaksa tidur dalam bangsar kereta yang kedudukan lebih tinggi manakala ramai yang tinggal dalam kereta.
“Pada masa yang sama, rumah saya di Kota Baharu pula dinaiki air dan pelbagai dokumen penting saya dihanyutkan air kerana tidak menjangka air akan naik ketika tergesa-gesa balik ke Kuala Krai,” tambah Rodin.
Seramai 117 orang kakitangan dari kampus Induk Pulau Pinang, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam, dan Kampus Kejuruteraan menyertai rakan-rakan dari Kampus Kesihatan untuk membantu mangsa banjir di Kelantan terutamanya dalam kalangan kakitangan USM yang terkesan oleh banjir.
Mereka membantu pembersihan 68 buah rumah kakitangan yang kritikal terkesan banjir dan mengedarkan 10 tan barangan sumbangan warga USM untuk diagih dalam kalangan mangsa banjir khususnya kawasan kampung yang belum mendapat bantuan di daerah Kubang Kerian, Kota Bharu, Pasir Mas, Pengkalan Chepa, dan Tumpat.
Hadir sama bertemu kakitangan USM yang terkesan banjir ialah Pendaftar Siti Zubaidah A. Hamid, Timbalan Pendaftar Kanan (Sumber Manusia) Hj Mohd Saad Din dan TImbalan Pendaftar Nazru Haji Ismail.
Pada minggu ini dijangkakan 3 lagi misi akan dihantar membantu proses pembersihan pasca banjir di Kelantan yang melibatkan kira-kira 500 orang kakitangan, pelajar dan alumni USM.
Teks/Foto: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1904