27 CALON LAYAK BERTANDING DI PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR 2016/2017
USM, PULAU PINANG, 10 Oktober 2016 – Seramai 27 orang calon layak bertanding di Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) sidang akademik 2016/2017 bagi kerusi umum dan Pusat Pengajian Kampus Induk, Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan dijalankan pada 13 Oktober ini di tujuh pusat pemilihan melibatkan empat lokasi.
Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein berkata proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar kali ini berlangsung serentak di ketiga-tiga kampus iaitu di Kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.
“Di Kampus Induk sebanyak 29 kerusi akan dipertandingkan melibatkan enam kerusi umum dan 23 kerusi Pusat Pengajian,” katanya dalam satu taklimat sempena penamaan calon yang berlangsung hari ini.
Bagaimanapun, menurut Adnan, sehingga kini 15 kerusi Pusat Pengajian telah menang tanpa bertanding manakala 14 kerusi lagi akan dipertandingkan dalam PMPP 2016/2017 Khamis ini.
Adnan dalam taklimatnya turut mengingatkan setiap calon yang bertanding mengikut peraturan pemilihan yang ditetapkan supaya tidak timbul sebarang masalah yang boleh menjejaskan proses pemilihan berlaku.
“Calon-calon yang bertanding dinasihatkan menjalankan kempen secara berhemah dengan tidak menganggu calon yang lain dan juga kepada universiti,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni merangkap Setiausaha PMPP 2016/2017, Mohd Saad Hj Din turut memberikan taklimat dan juga menjelaskan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap calon semasa proses PMPP ini dijalankan.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pemantau PMPP 2016/2017 Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 816