USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENTARI@USM: PUSAT SEHENTI KHIDMAT PSIKIATRI

untitledubhj

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Oktober 2016 – Mentari@USM di Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mula beroperasi pada Januari 2016 sejajar dengan kehendak Akta Kesihatan Mental 2001 yang mewajibkan sebuah Jabatan Psikiatri menyediakan pusat kesihatan mental bagi mendekatkan masyarakat kepada perkhidmatan psikiatri.

Mentari@USM memainkan peranan sebagai pusat sehenti psikiatri yang menyediakan penjagaan dan rawatan berkaitan kesihatan mental merangkumi perkhidmatan saringan kesihatan mental, mendiagnosa, memberi rawatan awal dan pemulihan kepada sesiapa yang mengalami sebarang jenis penyakit mental.

Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Dr. Adam Husein yang mewakili Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed melancarkan unit ini berkata, masyarakat yang mengalami  permasalahan  mental dan emosi boleh hadir ke Mentari@USM tanpa surat rujukan bagi memudahkan mereka mendapatkan rawatan di samping mengurangkan stigma.

“Di bawah Mentari@USM terdapat beberapa aktiviti pemulihan di samping melatih pesakit ke arah perkembangan ekonomi, antaranya ‘Bengkel Cuci Kereta Mentari@USM’ yang melatih kira-kira 10 pesakit menumpu perhatian, menjalankan aktiviti fizikal serta memupuk kesabaran melalui aktiviti mencuci kereta dan mereka diberi insentif atas usaha mereka itu.

“Selain itu, ‘Mentari@USM Rest Corner’ pula ialah sebuah kafe mini yang menjadi pusat latihan pesakit  berkomunikasi dengan masyarakat dan menimba ilmu perniagaan secara kecil-kecilan dan sehingga kini terdapat beberapa pesakit diambil bekerja di ‘Mentari@USM Rest Corner’ untuk melatih mereka dalam aspek komunikasi dan asahan kognitif sehingga mereka yakin untuk bekerja di dunia luar secara kompetitif dengan masyarakat,” katanya lagi.

Menurut Adam, Mentari@USM turut memberi peluang kepada pesakit yang berminat untuk membuat roti dan biskut menyertai aktiviti di ‘Bakeri@MentariUSM’ yang memberi latihan membuat sesuatu perancangan, meningkatkan tumpuan, latihan fizikal, kesabaran dan  menjana ekonomi pesakit secara tidak langsung.

“Pelbagai aktiviti boleh dilakukan oleh pesakit di Mentari@USM untuk membantu mereka dan keluarga kerana unit ini mengamalkan konsep penjagaan harian dan rumah kelab bagi mengurangkan pembaziran masa pesakit di rumah tanpa aktiviti serta mengurangkan kemungkinan menjadi relapse.

Mentari@USM beroperasi pada setiap hari Ahad hingga Rabu daripada pukul 8.10 pagi hingga 4.40 petang di Tingkat 2, Bangunan Pusat Trauma & Kecemasan, Hospital USM,” jelasnya lagi.

Adam berkata, antara perkhidmatan lain Mentari@USM ialah mengadakan aktiviti promosi kesihatan mental, saringan dan pengesanan awal penyakit mental, memberi intervensi awal dan segera untuk mengelakkan penyakit menjadi serius dan sukar dirawat. 

"Selain itu, Mentari@USM juga menyediakan perkhidmatan pasukan kesihatan mental komuniti  yang merawat pesakit di dalam komuniti mereka sendiri selain turut menyediakan pelbagai intervensi psikososial seperti sokongan keluarga, pendidikan pesakit, kaunseling, relaksasi, terapi kumpulan dan pelbagai lagi mengikut keperluan pesakit.

Yang turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengarah Kanan Klinikal, Hospital USM, Dr. Nik Min Ahmad; Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Asrenee Ab Razak; Pengerusi Jawatankuasa Majlis Penutup Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, Peringkat Kampus Kesihatan USM merangkap Yang Dipertua Persatuan Perubatan Psikologi, Kelantan (PERSIKOL), Dr. Maruzairi Husain dan Ketua Unit Mentari@USM, Dr. Nor Asyikin Fadzil.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Mohd Ridzuwan Ramly

  • Created on .
  • Hits: 2819

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024