TRADISI 43 TAHUN PENGANJURAN PESTA HOKI USM DITERUSKAN
USM, PULAU PINANG, 10 Oktober 2016 – Tradisi penganjuran Pesta Hoki USM-Penang International (Pesta Hoki) yang masuk kali ke-43 diteruskan dengan penambahbaikan pada tahun ini iaitu pendaftaran dan pembayaran atas talian untuk kemudahan semua pihak.
Demikian kata Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR), Universiti Sains Malaysia (USM), Muhamad Mohd Hanif di majlis pelancaran Pesta Hoki yang akan diadakan pada 25-27 November 2016 di USM Hockey Turf.
“Penganjuran Pesta Hoki adalah medan untuk para pelajar menyerlahkan bakat kepimpinan sebagai pemimpin masa hadapan.
“Saya berharap peluang ini digunakan sepenuhnya oleh para pelajar dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Nestle Products Sdn. Bhd. yang menjadi penyumbang utama dalam penganjuran sejak 30 tahun lalu,” kata Muhamad.
Menurut Pengurus Pemasaran Sukan, Nestle Products Sdn. Bhd., Ng Ping Loong, Nestle atau secara spesifik MILO terus menyokong Pesta Hoki kerana USM adalah satu-satunya institusi yang secara konsisten dalam penganjuran sejak lebih 40 tahun.
“Pesta Hoki ini telah mempunyai jenamanya yang tersendiri dan setiap peserta menantikannya setiap tahun,” tambah Ping Loong.
Sehingga kini, sebanyak 300 pasukan termasuk dari India, Sri Lanka, Thailand dan Pakistan telah mendaftar dan angka ini dijangka melonjak sehingga 360 pasukan menjelang November 2016.
10 kategori yang dipertandingkan adalah Boys U-12, Girls U-12, Boys U-15, Girls U-15, Ladies U-18, Mens U-18, Varsity Men, Varsity Women, Mens Open, Womens Open dan Mens Veteran.
Bertemakan ‘Teamwork Makes Dream Work’, seramai 250 orang pelajar terpilih sebagai Sekretariat Pesta Hoki yang diketuai oleh Mohamad Azri Faez Basri.
Teks & foto: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1221