USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PESERTA PROGRAM KERJASAMA USM-UL BERPELUANG TEROKA PENDIDIKAN HOLISTIK

USM, PULAU PINANG, 9 Oktober 2016 - Program Co-Tutelle PhD Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Universite De Lorraine (UL) berupaya menghasilkan ilmuwan yang holistik, berfikiran global dan berpengalaman dalam industri.

Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kimia, Dr. Noor Hana Hanif Abu Bakar yang mengikuti pengajian di sana dari tahun 2007 hingga 2010 berkata pengalaman yang diperolehi dari program ini bukan hanya terbatas di peringkat akademik dan penyelidikan malah membuka ruang untuk memahami dan mempelajari budaya dan bagaimana cara kehidupan masyarakat di sana dalam kehidupan seharian terutamanya untuk memajukan bidang pendidikan dan pengajaran.

“Kepesatan teknologi yang digunakan di UL juga amat menarik dan pelbagai yang membantu saya semasa mengikuti pengajian sekaligus memberi peluang memahami dan menerokai budaya global untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” kata Noor Hana Hanif.

Pensyarah dari Pusat Pengajian yang sama, Dr. Mohd Hazwan Hussin pula berkata, terdapat ramai pakar di UL yang membantu dalam pengajiannya berkaitan kayu dan kemajuan teknologi dalam bidang penyelidikan di UL dan ini menjadi satu kelebihan untuk menerokai kekuatan ilmu yang ada.

Mohd. Hazwan mengikuti pengajian dari tahun 2011 hingga 2014 di UL.

“Pengajian di UL juga diadunkan dengan kreativiti dan inovasi oleh tenaga pengajar dan pakar di sana yang sekaligus memberi peluang kepada kita untuk turut sama mendapat kelebihan yang amat bernilai ini untuk dibawa ke Malaysia dan aplikasikan,” jelasnya lagi.

Hubungan rasmi antara USM dan UL bermula sejak 1999 lagi dan MoU pertama telah ditandatangani pada 2002.

Sejak itu pelbagai aktiviti dibuat oleh Pusat Pengajian Sains Kimia dan Makmal Biokristalografi seperti pertukaran penyelidik, “student attachment”, penyeliaan bersama, pengajaran peringkat pra-siswazah/siswazah, penganjuran bengkel/kolokium yang terus dibuat.

Kini kolaborasi ini melibatkan juga pelbagai pusat pengajian USM dengan sokongan Kedutaan Perancis di Malaysia.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/ Mazlan Hanafi Basharuddin

  • Created on .
  • Hits: 754

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024