PENGANJURAN PBJ KE-26 TERUS UNGGUL MERENTASI PENTAS ANTARABANGSA
USM, PULAU PINANG, 9 Oktober 2016 - Pesta Bola Jaring USM-Penang International ke-26 di Azman Hashim USM Sports Arena, Pulau Pinang yang melabuhkan tirai hari ini adalah satu kejayaan penganjurannya di peringkat domestik dan antarabangsa.
Menurut Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein, yang mewakili Naib Canselor USM, kejohanan ini bertujuan melestarikan pembangunan sukan ini dan di samping itu memberi ruang kepada siswi USM mengasah bakat mereka dalam kemahiran mengendalikan program dan pengurusan acara di peringkat antarabangsa berasaskan kesukarelawanan.
Pun begitu katanya, kejohanan ini juga adalah sebagai satu usaha memcemerlangkan sukan bola jaring dan mengukuhkan bakat kesukarelawanan sebagai usaha pencernaan ‘Thinking Skills’ dan dengan kemahiran ini, bakat, minda dan pengalaman dapat dikukuhkan justeru melahirkan mahasiswa yang HEBAT.
"Melepasi suku abad penganjuran Pesta ini, ianya telah memperlihatkan penyertaan pasukan di peringkat akar umbi hingga ke peringkat antarabangsa yang amat menggalakkan," katanya.
Tambahnya lagi, sesuai dengan tema “DEFEND TILL THE END” untuk temasya edisi kali ini, penyertaan pasukan antarabangsa amat memberangsangkan dan untuk kali kedua kejohanan ini dijalankan dalam dewan tertutup Azman Hashim USM Sports Arena ini.
Sementara itu, Pengerusi Pesta Bola Jaring USM-Penang International ke-26, Nur Alya Adriana Ahmad Sukri pula berkata, melalui penganjuran kejohanan seperti ini, ahli Jawatankuasa Pengelola yang semuanya terdiri daripada mahasiswi USM telah memperlihatkan kebolehan mereka dalam mengendalikan dan menguruskan sesuatu kejohanan. Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh mereka patut diberi pujian.
"Saya amat yakin dengan kemampuan mahasiswi USM yang berketerampilan, berfikiran terbuka serta cergas dalam meningkatkan prestasi PBJ USM-Penang International dari setahun ke setahun," jelas pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan ini.
Tambahnya, Pesta Bola Jaring kali ini menggunakan 4 gelanggang dan untuk kali kedua dijalankan sepenuhnya di dalam dewan tertutup dan kategori yang memonopoli PBJ kali ini ialah kategori 12 tahun iaitu sebanyak 25 buah pasukan yang bertujuan untuk meningkatkan pembangunan pasukan bola jaring di peringkat sekolah.
Sebanyak 99 pasukan menyertai kejohanan yang diadakan dari 7 hingga 9 Oktober 2016 ini yang terbahagi kepada 7 kategori iaitu bawah 12 tahun, bawah 15 tahun, bawah 18 tahun, lelaki terbuka, wanita terbuka, Institusi Pengajian Tinggi (Lelaki) dan Institusi Pengajian Tinggi (Wanita) dan PBJ kali ini mendapat penyertaan pasukan lelaki dari luar negara iaitu dari Brunei, Sri Lanka dan Hong Kong.
Majlis diserikan dengan kehadiran isteri TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajjah Majimor Binti Shariff yang juga Penaung Kehormat kejohanan.
Yang turut hadir adalah isteri Adnan, Datin Kamaliah Siarap; Sports Marketing Manager Beverages Business Unit Nestle Products Sdn. Bhd., Ng Pin Loong; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Haji Muhamad Mohd Hanif dan isteri; serta Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1472