USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYAKIT JANTUNG BAYI PERLU PERHATIAN LEBIH SERIUS

untitledcvbf

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Oktober 2016 – Masalah jantung dalam kalangan bayi perlu dipandang serius supaya rawatan awal dapat dilakukan tanpa mengganggu tumbesaran.

Secara amnya, terdapat dua kategori besar penyakit jantung iaitu penyakit jantung kategori pertama yang dikesan selepas dilahirkan dan kategori kedua pula adalah yang dikesan sejak dalam kandungan lagi.

Menurut Pensyarah Perubatan Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Rizal Mohd Zain, antara jenis-jenis penyakit jantung yang dikesan bagi kategori pertama adalah jangkitan kuman pada jantung, masalah saluran jantung dan masalah pada otot jantung manakala jenis-jenis penyakit jantung kategori kedua pula adalah jantung berlubang, masalah injap sempit, saluran darah sempit dan saluran darah tidak tertutup.

“Mengikut Jabatan Perangkaan, jumlah kelahiran di Kelantan sahaja dianggarkan lebih kurang 30,000 kelahiran setahun dan ini bermakna 0.8 hingga satu peratus akan menghidap penyakit jantung kategori kedua.

kelantan24

“Ini bermakna, pesakit yang menghidap penyakit ini perlu menjalani pembedahan atau rawatan pada tahun pertama selepas kelahiran,” katanya ketika bersiaran dalam slot program Doktor di Radio, di sini.

Mohd Rizal berkata, punca bayi menghidap penyakit jantung masih tidak dapat ditentukan secara spesifik kerana disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya faktor genetik, masalah persekitaran akibat pendedahan kepada radiasi dan jangkitan kuman semasa dalam kandungan contohnya jangkitan kuman Rubela.

“Antara tanda-tanda penyakit jantung kategori kedua bagi masalah jantung berlubang ialah pernafasan yang laju, mudah letih apabila menyusu, terdapat lekuk pada dada bayi dan pada peringkat yang teruk bayi tersebut akan kelihatan biru.

“Selain itu, penyakit jantung kategori kedua juga terbahagi kepada dua iaitu jenis biru dan jenis merah jambu,” jelasnya.

Menurutnya lagi, untuk kes yang kronik iaitu kes yang tidak dapat dikesan dan dirawat, salah satu tandanya ialah berat badan bayi yang tidak meningkat dan secara amnya bayi tersebut mempunyai masalah dan memerlukan pemerhatian serta penilaian lanjut oleh pakar kanak-kanak.

“Ibu bapa tidak perlu risaukan kos pembedahan walaupun mencecah RM50,000 kerana terdapat banyak dana untuk pesakit jantung dengan pesakit mungkin tidak perlu membayar kos pembedahan atau mungkin hanya perlu membayar satu peratus dari kos pembedahan tersebut,” jelasnya lagi.

Teks/Foto: Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 18009

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024