PPPM-PT DISAMBUT BAIK
PULAU PINANG, 30 Mac 2015 - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) dengan 10 lonjakannya disambut baik oleh warga Universiti Sains Malaysia (USM). Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, negara kita berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan pelan pendidikan yang dapat membawa negara ke tahap yang sewajarnya dan diterma bukan sahaja oleh masyarakat di negara ini malah juga di dunia.
“Dalam tempoh 15 tahun ini, negara kita telah menyediakan sekurang-kurangnya dua pelan pembangunan pendidikan dan ketiga PPPM-PT yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri 7 April ini,” kata Omar.
Beliau yang pernah berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan dan turut terlibat dalam perancangannya lebih 15 tahun lalu memuji usaha Kementerian Pendidikan yang secara berterusan berusaha melakukan penambahbaikan terhadap pelan pendidikan tinggi negara.
“Hakikatnya, kita terpaksa terima yang negara perlu berdaya saing dan menghadapi proses globalisasi yang berlaku dan tentunya tidak dapat mengelakkan diri lagi apatah lagi dengan ledakan teknologi yang berlaku secara berterusan ini,” katanya berucap menutup Program Jerayawara PPPM-PT yang diadakan di Dewan Budaya USM pagi ini.
Menurut Omar, PPPM-PT berusaha untuk mengisi segenap keperluan yang ada dalam memperkasakan bangsa Malaysia dalam menguasai ilmu pengetahuan sekaligus meningkatkan kecekapan dan kemahiran yang seharusnya telah lama dilakukan untuk menjadikan pengajian vokasional dan teknikal seiring dengan pengajian konvensional di samping memastikan roh pengajian tinggi menjadi keutamaan dalam proses pendidikan perdana.
“Bidang kemahiran dan vokasional sepatutnya berada di saluran perdana dan bukannya saluran kedua atau hanya menjadi alternatif kepada bidang-bidang pengajian di peringkat pengajian tinggi.
“Kita tidak pernah kekurangan bakat di negara ini, sebaliknya sekarang ini ialah bagaimana untuk kita majukan bakat-bakat yang ada dengan sewajarnya merentasi apa jua cabaran yang kita hadapi,” tambah Omar lagi.
Terdahulu, Pengarah Pejabat Pengurusan Program Kementerian Pendidikan Malaysia Profesor Madya Dr. Norhayati Mohamed memberikan taklimat tentang PPPM-PT kepada kira-kira 300 orang dari sekitar negeri Pulau Pinang, Kedah dan Utara Perak dan kemudiannya menjawab pelbagai soalan yang diutarakan bersama-sama Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi Profesor Dr. Mohd Majid Konting dengan moderatornya Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM Profesor Dato’ Dr. Abdul Rashid Mohamed.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dr. Adnan Hussein dan Pendaftar Siti Zubaidah A. Hamid. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1131