JADI GRADUAN HOLISTIK, BERCIRI KEUSAHAWANAN DAN SEIMBANG DI PERINGKAT GLOBAL, SERU NC USM
PULAU PINANG, 4 Oktober 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Datuk Profesor Dr. Asma Hj. Ismail berhasrat memperkukuhkan usaha membawa pelajar kepada "next level" dengan mengajak semua pihak secara holistik untuk membangunkan pelajar dalam semua aspek iaitu seimbang di antara perwatakan, dengan ilmu yang cintakan ilmu dan memanfaatkan untuk melakukan perubahan dan transformasi.
"Saya ingin memastikan usaha pembangunan pelajar secara terancang (by design) bukan berlaku begitu saya (by chance)," kata Asma.
Bercakap ketika bertemu Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) beliau mencabar pelajar-pelajar untuk menjadi pemain global dengan melakukan sesuatu yang lebih dari apa yang dilakukan kini dan membawa nama pelajar-pelajar USM ke satu tahap yang lebih membanggakan.
"Melalui penghakupayaan bakat pula, pelajar diseru menjadi seorang yang membawa manfaat kepada masyarakat, bukan sahaja dengan pencarian ilmu semata-mata," katanya.
Tambahnya, selain pelajar ijazah pertama, pelajar pasca siswazah USM juga diseru bersatu antara satu sama lain dalam menjalankan aktiviti dan perkara yang berkaitan di peringkat universiti kerana para pemimpin masa hadapan negara kelak dicorak dari golongan ini.
"Saya mengharapkan para pelajar terutama pemimpin persatuan untuk lebih kreatif dalam mencari sumber untuk melakukan aktiviti tanpa bergantung hanya kepada sumber sedia ada, malah mereka perlu belajar dari rakan-rakan di universiti swasta dengan bekerja bersama-sama dan keluar dari sikap bekerja bersendirian dalam kalangan kelompok sendiri sahaja atau silo," tegasnya lagi.
Pelajar USM juga disaran untuk menjadi seorang graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang dalam diri masing-masing selari dengan lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
Naib Canselor turut mendengar pandangan dan cadangan pelajar tentang pelbagai perkara yang berkaitan dengan aktiviti dan kebajikan pelajar.
Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein; Pengarah Pembangunan Pelajar Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Dr. Nazarudin Zainun; Timbalan Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Saad Din dan ahli-ahli MPPUSM dari ketiga-tiga kampus.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1384