PROGRAM ACHIEVE YOUR TARGET BUKA PELUANG MURID SEKOLAH RASAI ALAM UNIVERSITI
PULAU PINANG, 3 Oktober 2016 - Program Achieve Your Target 2.0 yang berlangsung kelmarin anjuran Kelab Kerja Sosial Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) bersama pelajar SMKA Kerian, Perak dianggap berjaya dan mencapai matlamatnya.
Menurut Pengarah Projek, Nur Hazwani Binti Abdul Ghani, objektif program sehari ini adalah untuk memberi peluang kepada murid SMKA Kerian untuk mengenali kehidupan di alam universiti sebagai langkah persediaan awal murid untuk menjejakkan kaki ke menara gading kelak di samping sebagai pengisian aktiviti lawatan ke USM.
"Pada sesi pagi, kami membawa murid-murid tersebut melawat Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) dan Perpustakaan Hamzah Sendut serta lawatan di sekitar USM untuk memperkenalkan USM kepada mereka.
"Manakala pada sesi petang pula, 2 slot ceramah motivasi bersama pensyarah Kerja Sosial USM, Dr. Paramjit Singh Jamir Singh dan Dr. Syazwani Drani diadakan dan seterusnya slot latihan dalam kumpulan bersama pelajar USM iaitu Mohd Sahhimi Sajali dan Mohd Madzlan Musau," jelas pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan ini.
Program berkonsep lawatan ini melibatkan 4 orang guru pengiring dan 40 orang murid serta 15 AJK dari Kelab Kerja Sosial USM itu sendiri.
Sementara itu, murid-murid SMKA Kerian menzahirkan ucapan terima kasih dan berpuas hati dengan pengisian program sehari yang berunsur ilmiah ini yang telah memberi semangat dan motivasi untuk mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran hingga dapat menjejakkan kaki ke alam universiti kelak.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Kelab Kerja Sosial USM
- Created on .
- Hits: 1747