ZABIDI ZAINAL DIKURNIA ANUGERAH TOKOH MAAL HIJRAH PERINGKAT NEGERI PERLIS 1438H
PULAU PINANG, 2 Oktober 2016 - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal hari ini dikurniakan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis tahun 1438H/2016M di Dewan 2020, Kangar oleh Raja Perlis DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang juga Canselor USM.
Zabidi dalam laman media sosial Facebooknya memanjatkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menjunjung kasih ke atas DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis atas kurniaan ini.
"Bagi saya, hijrah adalah transformasi dan sebuah transformasi dari perkara yang biasa-biasa kepada yang lebih baik justeru inilah intipati sebenar hijrah yang telah kita terapkan kepada penjawat awam melalui agenda Transformasi Perkhidmatan Awam," katanya.
Beliau turut bersyukur dan berterima kasih buat semua, dan Anugerah ini adalah pengiktirafan buat sekalian penjawat awam yang gigih berbakti demi agama, bangsa dan negara.
Zabidi adalah salah seorang dari 'CEO Faculty Programme' anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk Universiti Sains Malaysia (USM) dan beliau telah menyampaikan Syarahan Perdana kepada warga USM pada bulan April lalu di Dewan Tuanku Syed Putra USM.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1093