NG XIANG YING DAKI KE BASE CAMP GUNUNG EVEREST
USM, PULAU PINANG, 30 September 2016 - Ng Xiang Ying, pelajar Sarjana di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB), Universiti Sains Malaysia (USM) akan mendaki ke Base Camp Gunung Everest yang berketinggian 5,364 meter iaitu ketinggian melebihi Gunung Kinabalu di Malaysia.
“Setiap tahun saya mencabar diri untuk lakukan perkara baru dan pada tahun lalu saya telah mendaki Gunung Kinabalu dan tahun ini juga saya akan ke Base Camp Gunung Everest,” kata Xiang Ying.
“Persiapan untuk mendaki telah saya mulakan sejak tahun lalu dan kini adalah masa saya untuk menguatkan semangat mental dan fizikal untuk menawan tapak berkenaan,” tambah Xiang Ying yang juga bekerja secara sambilan sebagai jurulatih kecergasan di Pulau Pinang.
“Apabila diajak untuk ke sana oleh adiknya, saya tidak berfikir panjang dan terus mendaftar kerana mendaki ke Base Camp adalah salah satu cita-cita saya yang telah disenaraikan.
“Sebagai seorang pelajar, selain untuk berjaya dalam akademik, penglibatan dalam ko-kurikulum dan akvititi luar sebegini adalah minat saya,” tambahnya.
“Saya bagi pihak GSB berbangga dan menyokong usahanya untuk mengharumkan nama dan meletakkan bendera GSB dan juga USM di Base Camp berkenaan serta berharap Xiang Ying akan berjaya dan pulang dengan selamat,” kata Timbalan Dekan (Akademik, Pelajar dan Alumni) GSB, Dr. Salmi Mohd Isa ketika ditemui di majlis ringkas penyerahan bendera USM dan GSB di sini hari ini.
Xiang Ying, 30, akan berlepas ke Kathmandu, Nepal bersama adik lelakinya dan beberapa orang rakan pada hari ini dan proses pendakian akan mengambil masa 9 hari termasuk hari untuk penyesuaian dengan suhu dan oksigen, dan akan pulang ke Malaysia pada 15 Oktober nanti.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1309