USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JAYSHREE KAGUMI SERANGGA, WARISI MINAT IBU

14463009 1170514669676231 4846115153163240350 n

PULAU PINANG, 30 Sept. 2016 – Beliau boleh melihat dan memerhatikan serangga selama berjam-jam di dalam hutan, malah pernah mengalami saat dianggap paling mengujakan dalam hidupnya kerana dapat berinteraksi dengan organisma kecil berkenaan.

Artis merangkap karyawan seni solo kelahiran Petaling Jaya, Jayshree Ramasamy mengakui, beliau amat taksub dengan serangga yang disifatkannya mempunya peranan yang cukup besar dalam ekosistem dan kehidupan manusia.

Katanya, serangga bukanlah fokus utama dalam karya seninya yang bermula sejak berusia 16 tahun namun minat yang kini menjadi satu keterujaan itu bertitik-tolak dari sifat mulia mendiang ibunya yang cukup sayangkan haiwan termasuk serangga.

14446078 1170536993007332 246431537518016722 n

“Ibu saya seorang yang sangat cintakan persekitaran, haiwan dan serangga. Malah jika di rumah, beliau memang tidak akan membunuh apa jua serangga yang masuk sebaliknya menganggap ia adalah anugerah alam yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Melihat keprihatinan ibu, saya mula melihat dari perspketif beliau dan nyata serangga ini walau kecil mempunyai peranan yang cukup besar dan saya tidak dapat bayangkan dunia ini tanpa kehadiran makhluk unik yang hadir dalam pelbagai rupa, warna dan bentuk ini,” ujarnya.

Beliau ditemui ketika menjayakan pameran solo pertamanya di Malaysia melalui  karya yang diberi nama “Small in Size, Big in Role” yang dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, USM di sini baru-baru ini.

Dalam pameran tersebut, 22 karya unik dan istimewa Jayshree dipamerkan merangkumi lukisan, arca dan arca installation yang mempamerkan kekuatan dan keunikan serangga dalam pelbagai sudut.

14370361 1170514723009559 8551537364854109827 n

Paling mengujakan, salah satu arca yang dipamerkan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan memenangi anugerah berprestij dalam pameran karya seni yang menghimpunkan ramai karyawan terkemuka dunia di New Delhi, India, selain turut pernah dipaemrkan di kota London.

Pameran tersebut dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 863

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024