‘BISIKAN LUKISAN’ DAN ‘HIN’ MENANG RM6,000
PULAU PINANG, 29 September 2016 – Dua filem pendek hasil kerja pelajar Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) bertajuk ‘Bisikan Lukisan’ dan ‘Hin’ menang kategori pelajar bagi Pertandingan Filem Pendek Kaki Lima 2016 dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000 dan trofi.
‘Bisikan Lukisan’ atau Whispers of the Paintings adalah hasil pengarahan pelajar tahun tiga PPK, Mohd Azim Muhammad Rizal Aminuddin yang menyampaikan mesej tentang perspektif orang terhadap sesuatu di dunia.
“Tarikan utama di Pulau Pinang pada ketika ini adalah ‘street art’ dan saya inspirasikan lukisan tersebut untuk melihat pemikiran individu terhadap sesebuah lukisan yang berbeza,” kata Mohd Azim.
Menurut Mohd Azim, filem pendek itu dihasilkan sebagai satu tugasan kelas sinematografi yang dibantu oleh pensyarah PPK iaitu Profesor Madya Dr. Rohani Hashim dan Dr. Wang Chang Song.
“Alhamdulillah hasil kerja saya diiktiraf dan saya juga ingin ucapkan terima kasih dan tahniah kepada ahli kumpulan saya dari Bikin Filem Production iaitu Farid Rahman dan Akmal Yusof sebagai rakan produksi, Assif Shamim, Nurul Shafiya dan Marvin Mohan sebagai bakat lakonan dan suara,” tambah Mohd Azim.
Sebuah lagi filem yang menang bagi kategori yang sama adalah ‘Hin’ yang dihasilkan oleh Rou Ning Teh yang juga pelajar PPK USM.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu dalam penghasilan filem ini dan juga kepada para pensyarah PPK,” kata Rou.
Pertandingan ini adalah anjuran Georgetown World Heritage Inc. dan pertandingan akhir telah diadakan di Penangpac pada Ogos lalu.
Untuk menonton filem pendek ini, klik https://www.youtube.com/watch?v=Of26FyW_8ME dan https://www.youtube.com/watch?v=VTNFYvQV4Ik&feature=youtu.be
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Azim Muhammad Rizal Aminuddin
- Created on .
- Hits: 1433