USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAHASISWA DISERU ANJUR LEBIH BANYAK PROGRAM YANG DAPAT KUKUHKAN PERPADUAN

 DSC4671

PULAU PINANG, 28 Mac 2015 - Mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) negara diseru untuk menganjurkan lebih banyak program yang dapat menjadi wadah perpaduan dalam mengeratkan lagi hubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini amnya dan di IPT khususnya.

Demikian kata Wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liang Teck Meng yang menyifatkan penganjuran program Sambutan Pesta Amal Tahun Baharu Cina Universiti Sains Malaysia (USM) 2015 ini sebagai pendekatan yang amat baik untuk menyatupadukan mahasiswa berbilang kaum, budaya, agama, latar belakang dan keturunan di dalam kampus.

 DSC4751

 DSC4765

“Melalui program sedemikian juga, warga USM dapat berinteraksi antara satu sama lain di samping memahami makna dan pengertian di sebalik perayaan Tahun Baharu Cina dengan lebih mendalam lagi,” kata Liang ketika merasmikan Sambutan Pesta Amal Tahun Baharu Cina USM 2015 di sini semalam.

Tambah Liang, beliau yakin program seumpama ini akan menjadi tonggak kekuatan kita serta menjadi teladan kepada masyarakat lain di dunia yang menunjukkan masyarakat kita bersatu padu, hidup bermuafakat dan saling hormat-menghormati apatah lagi negara kita beraspirasi untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020.

 DSC4769

 DSC4789

Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) Profesor Dr. Adnan Hussein yang mewakili Naib Canselor USM pula berkata, pihak Universiti memang sentiasa menggalakkan penglibatsamaan mahasiswa pelbagai kaum dan keturunan dalam penganjuran dan pelaksanaan program dan acara yang dianjurkan oleh persatuan dan kelab pelajar yang terdapat di USM.

“Selain memupuk semangat satu Malaysia, penganjuran acara sebegini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk meningkatkan sifat kepimpinan dan menyerlahkan bakat yang ada pada diri mereka sekaligus melahirkan graduan yang holistik dan mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi dalam dunia pekerjaan,” kata Adnan.

 DSC4792

 DSC4800

Pesta Amal Tahun Baharu Cina 2015 ini merupakan kali kesembilan dianjurkan oleh Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) USM.

Lebih 1,500 penonton dari dalam dan luar kampus yang membanjiri Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) telah dihiburkan dengan beraneka persembahan menarik termasuk persembahan tarian kumpulan Adikarma USM, tarian tradisional Cina SMJK Chung Ling Butterworth, orkestra kebudayaan Cina, persembahan Diabolo, tarian LED, dan nyanyian artis tempatan.

 DSC4701

 DSC4807

Sementara itu, Pengarah Projek Pesta ini, Goh Wei Kit dalam ucapannya berkata pihak SKKT amat bersyukur kerana program ini telah mencapai objektif utamanya iaitu memperkenalkan budaya masyarakat Cina dalam kalangan warga USM terutamanya melalui pameran selama tiga hari yang diadakan sempena pesta ini.

Dalam majlis yang sama, pihak SKKT menderma sebahagian wang yang dikumpulkan berjumlah RM3,000, iaitu RM2,000 kepada Dual Blessing Bhd. dan RM1,000 kepada Yayasan USM.

Sijil penghargaan telah diberikan kepada semua penaja yang telah menyokong dan menjayakan penganjuran pesta amal kali ini.

 DSC4816

 DSC4820

 DSC4827

Turut hadir ialah Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM Tuan Syed Yusof bin Syed Kechik dan Yang Dipertua SKKT 2014/2015 Chua Swee Hong. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1494

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024