LARIAN AMAL “GO GREEN RUN” CAPAI MATLAMAT
KUBANG KERIAN, KELANTAN 28 Mac 2015 – Larian Amal “Go Green Run” yang diadakan bersempena dengan Ekspo Bersih Sokmo (EX-SIMO) anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Nurani, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencapai matlamatnya untuk mengutip dana untuk rumah anak yatim sekitar Kelantan seperti Rumah Anak Yatim Salimah.
Selain itu acara ini berjaya menarik peryertaan peserta dari negara luar seperti Kenya, Thailand dan Nigeria dengan penyertaan seramai kira-kira 400 orang staf dan pelajar USM, masyarakat Kelantan yang mempertandingkan acara terbuka, kanak-kanak, veteran dan pelajar USM.
Pengarah EX-SIMO, Nurul Amalina Jamil berkata selain untuk tujuan amal melalui acara larian, ekspo ini juga bertujuan untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan dan mengamalkan budaya hidup sihat.
“Mungkin apa yang kami buat ini tidaklah sebesar dan sehebat mana, namun sekurang-kurangnya kami Mahasiswa USM dapat juga memberi sesuatu kepada orang awam,” katanya.
Ekspo sehari ini melibatkan karnival jualan seperti gerai jualan makanan dan minuman, pakaian serta permainan “Horse Riding”, “Supa-Dupa”, memanah dan lain-lain.
Nurul Amalina berharap agar penganjuran ekspo ini dapat dijadikan acara tahunan.
Peserta larian, Puan Anis Azniriza Zainol ketika ditemui melahirkan rasa gembira menyertai acara larian amal ini biar pun tidak mendapat sebarang tempat.
“Kalah atau menang adat bertanding, yang penting dapat sertai program ini di samping menderma untuk anak-anak yatim,” kata Anis Azniriza.
Pada sebelah malamnya berlangsung Majlis Penutup EX-SIMO yang akan disempurnakan oleh Penggawa Desasiswa Nurani Kampus Kesihatan USM, Tuan Haji Yusoff Abdullah. - Teks: Mohd. Rodin Che Yusoff, Kampus Kesihatan
- Created on .
- Hits: 2475