SL1M BANTU GRADUAN TINGKAT TAHAP KEUPAYAAN DIRI
USM, PULAU PINANG, 23 September 2016 - Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dilihat mampu meningkatkan tahap keyakinan mahasiswa dalam menghadapi cabaran dalam realiti dunia pekerjaan apabila mereka tamat belajar kelak.
Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Azlinda Azman berkata, pelajar era globalisasi kini perlu melalui persaingan yang sangat sengit untuk memastikan mereka mendapat tempat dalam dunia pekerjaan kelak.
“Melalui SL1M ini, pelajar akan didedahkan dengan realiti dunia pekerjaan yang sebenar melalui latihan-latihan yang diberikan oleh syarikat-syarikat besar di Malaysia,” tambahnya yang ditemui selepas majlis Dialog Perdana: Persediaan Graduan Untuk Menghadapi Cabaran Kerja.
Jelasnya lagi, program yang diadakan pada hari ini juga dapat memberikan informasi terkini tentang kerjaya dalam pelbagai sektor di samping dapat mendedahkan para pelajar khususnya di tahun akhir untuk persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Sementara itu, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, SL1M yang bertujuan membantu graduan menganggur dijangka mampu meningkatkan tahap keupayaan diri dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman kerja, sekali gus menjadi platform bagi mendapatkan pekerjaan.
“Peserta yang menyertai program ini juga akan menjalani kemahiran atau belajar sambil bekerja dengan pihak syarikat yang mengambil bahagian bagi meningkatkan keyakinan diri dan diberi pendedahan kepada suasana kerja sebenar,” tambahnya.
Selain Norashikin, dua lagi panel yang turut sama dalam majlis ini ialah Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah, Dr. Suraya ismail dan Pensyarah Kanan PPSK, Dr. Khoo Suet Leng.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1110