PIPPA USM, INSPIN KEDAH JALIN KERJASAMA STRATEGIK PERKASA BAKAT
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman, persefahaman ini adalah meneruskan usaha USM melalui Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) yang menjalankan pelbagai inisiatif untuk dikongsi bersama secara strategik dengan agensi-agensi awam, khususnya dalam bidang pengurusan, pembangunan bakat dan modal insan.
"Di samping memberi perkhidmatan kepada kakitangan sektor awam di Malaysia, PIPPA juga menawarkan kepakarannya dengan 15 rakan strategik antarabangsa merentasi sempadan dari Australia, Timur Tengah, Amerika Syarikat, Eropah dan rantau Asia antaranya dengan Educational Competencies Consortium (ECC), University of Bath di United Kingdom, University of Palermo di Itali, National Academy for Public Administration (NAPA) di Vietnam, Saudi Aramco di Arab Saudi, Qatar University di Qatar dan Indiana University di Amerika Syarikat," katanya.
Tambahnya, PIPPA turut menjalin kerjasama strategik di dalam negara dengan pelbagai agensi pusat seperti MAMPU, JPA dan INTAN.
"Sejak penubuhannya 3 tahun lalu, PIPPA telah melaksanakan program latihan di luar negara dengan kerjasama rakan strategiknya melalui ‘International Outreach Programme’ (IOP) di samping terlibat dalam perundingan membangunkan pelan transformasi dan pelan strategik kepada pelbagai agensi awam di Malaysia," tambahnya.
Jelasnya lagi, PIPPA juga telah mengambil inisiatif memperkenalkan modul latihan seperti Tadbir Urus Bersepadu (TUBE), Analisis Pekerjaan dan Penulisan Diskripsi Pekerjaan Berasaskan Kompetensi dan juga telah membangunkan tiga ‘web-based system’ yang dapat membantu organisasi untuk mencapai sasaran pengoptimumam sumber manusia melalui penjajaran sumber manusia iaitu Sistem ‘MyTalent’, ‘MyWorkprofiling’ dan ‘MyCPD’.
Kerjasama USM - INSPIN adalah untuk memperkukuh kerjasama strategik ini dengan menggunakan kepakaran dan fasiliti USM sama ada melalui penganjuran program latihan, seminar, persidangan sama ada di peringkat tempatan mahupun di persada antarabangsa.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato' Abu Bakar Bin Din pula berharap usaha antara dua pihak ini akan dapat melebarkan jaringan kerjasama bersama dan fungsi INSPIN sebagai institusi latihan di negeri Kedah dengan lebih baik.
Tambahnya, tujuan perjanjian ini adalah untuk mewujudkan kerjasama strategik dan meneroka peluang untuk membangun, menyokong dan memperkaya pembangunan pekerja, latihan serta penyelidikan dalam bidang-bidang yang akan memberi manfaat kepada INSPIN dan PIPPA.
"Melalui perjanjian ini, peranan dan aktiviti INSPIN diperluaskan lagi sebagai penggerak program integriti dan pembangunan modal insan yang lebih luas dan menyeluruh, selain daripada peranan menganjurkan latihan kakitangan awam kerajaan negeri Kedah," jelasnya lanjut.
Yang turut hadir ialah Pendaftar USM Profesor Dato' Dr. Abd. Aziz Tajuddin, Ahli Lembaga Pengarah INSPIN Dato' Wira Mahkota Dato' Wira Haji Ismail Hamid, Dato' Seraja Bijaya Dato' Wira Haji Syed Zain Syed Abdullah dan Dr. Asmadi Mohammad Ghazali, Pengarah PIPPA Dr. Musa Ali dan Pengurus Besar INSPIN Syed Shaharuddin Syed Abdullah.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1879