UTAMAKAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJA
KUBANG KERIAN, KELANTAN 26 Mac 2015 – Tuntutan dunia kerjaya yang semakin hari semakin mencabar kini ditambah pula dengan pelbagai bebanan di luar tugas hakiki, Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) diminta memandang serius serta memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja seliaan sentiasa dititikberatkan dari semasa ke semasa.
Berucap merasmikan Majlis Penutup Kempen Keselamatan (Safety & Security) Dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Sains Malaysia (USM) Peringkat Kampus Kesihatan 2015 di sini, Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian Kampus Kesihatan USM, Profesor Madya Dr. Adam Husein yang mewakili Pengarah Kampus percaya dengan gabungan erat di antara Ketua PTJ yang prihatin dengan pekerja yang berkaliber yang disokong oleh persekitaran kerja yang selamat dan kondusif mampu meningkatkan produktiviti dan inovasi berkualiti.
“Bagi saya kedua-dua pihak mempunyai peranan masing-masing dalam menentukan hala tuju dan kejayaan sesebuah organisasi yang diurus tadbir,” kata Adam.
Kempen yang dijalankan selama sebulan sejak 1 Mac 2015 sehingga 26 Mac 2015 ini diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan Kawad Kebakaran dan Pengosongan Bangunan Antara Blok Desasiswa, Kawad Pengunaaan Alat Pemadam Api Mudahalih (Pekerja & Pelajar Wanita) dan Kawad Basah Pili Bomba Antara PTJ.
Beberapa siri ceramah dan pameran turut diadakan selain Pertandingan Melukis Poster Sempena Kempen Keselamatan Terbuka (Pekerja & Pelajar USM).
Menurut Adam lagi, bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak semasa menjalankan tugasan di tempat kerja lebih terjamin, setiap peraturan yang telah digariskan perlulah dipatuhi dengan penuh berhemat.
“Jika majikan telah menyediakan satu Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang lengkap dan sistematik, para pekerja perlulah mematuhinya dengan sebaik mungkin tanpa perlu merasa ragu-ragu,” tegasnya.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Keselamatan Jabatan Keselamatan Kampus Kesihatan USM merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Mohd Fakri Yusoff serta para pegawai utama dan warga USM Kampus Kesihatan.
Terdahulu Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan Kampus Kesihatan USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Mohd Nasrom Mohd Nawi berharap kempen seumpama ini dapat diadakan secara tahunan untuk mendidik warga USM tentang aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dengan lebih berkesan lagi.
“Saya amat berharap agar pada masa akan datang, dapat dipelbagaikan lagi isi kandungan kempen supaya lebih mampan dan dapat memberi kesan positif kepada semua,” kata Nasrom.
- Teks: Mohd Rodin Che Yusoff, Kampus Kesihatan.
- Created on .
- Hits: 1574