DR. FATEHAH DIPILIH SEBAGAI PENERIMA ANUGERAH L'OREAL-UNESCO
NIBONG TEBAL, 19 September 2016 – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Fatehah Mohd Omar dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah L'Oréal-UNESCO untuk Wanita di Anugerah Sains melalui penyelidikan beliau bertajuk “The Importance of Determining Zeta Potential and Hydrodynamic Diameter to Characterize Suspended Solids in Palm Oil Mill Effluent (POME)” baru-baru ini.
Beliau yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan teruja kerana tersenarai antara penerima anugerah yang diberikan kepada penyelidik atau saintis wanita di Malaysia yang berumur 40 tahun ke bawah dan memegang Ph.D atau sedang menjalankan kajian dalam pelbagai bidang sains.
“Kali pertama saya membaca tentang anugerah ini, enam tahun yang lalu dan sejak dari hari itu saya telah menanam hasrat untuk mencuba dengan bekerja keras untuk mencapainya”, katanya.
Tambahnya lagi, beliau berasa bangga kerana jenama kosmetik bertaraf dunia seperti L'Oreal mengiktiraf bakat, usaha dan sumbangan yang dibuat oleh kaum wanita yang bersungguh-sungguh dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta cinta kepada sains dan penyelidikan.
“Ia benar-benar satu penghormatan kepada saya dan juga kepada penerima yang lain terutama kepada ibu-ibu yang perlu membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya”, kata Fatehah.
Ditanya mengenai aspirasi, beliau berkata kedua ibu bapa iaitu Profesor Dr. Ir. Mohd Omar Ab Kadir dan Profesor Dr. Nik Norulaini Nik Ab Rahman yang merupakan saintis dan masing-masing daripada Pusat Pengajian Teknologi Industri dan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM menjadi pendorong kepada kejayaannya.
Menurut anak sulung dari empat beradik, projek penyelidikan yang membawa beliau kepada anugerah tersebut adalah berkisarkan kepada rawatan bekalan air bersih yang menjadi semakin sukar diperolehi di Malaysia dan kebanyakkannya disebabkan oleh pencemaran.
Jelasnya, penyelidikan yang dibuat bukan sahaja penting untuk merawat dari sumber untuk kegunaan manusia tetapi juga bertanggungjawab melepaskan air terawat selepas penggunaan.
“Kajian saya mensasarkan untuk membantu pihak industri yang memproses bahan kimia dengan penggunaan air yang banyak dan kemudiannya melepaskan semula kepada alam sekitar selepas selesai proses pembuatan yang mereka lakukan”, tambahnya lagi.
“Saya berharap usaha ini akan dapat menyumbang dalam menyediakan dan mengekalkan persekitaran bekalan air bersih untuk ekosistem dan akhirnya untuk persekitaran hidup manusia yang lebih terjamin”, katanya.
Anugerah tersebut telah melayakkan beliau menerima geran penyelidikan daripada pihak ‘L'Oreal-UNESCO bernilai RM30,000.
Turut menerima anugerah sama iaitu Pensyarah, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM Dr. Nethia Mohana yang melakukan penyelidikan dalam bidang pencegahan penyakit kanser.
Teks: Mohd Kamil Ashar
Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin
- Created on .
- Hits: 1598