PPA SASAR KUMPUL LEBIH 2000 ALUMNI USM
USM, PULAU PINANG, 17 September 2016 - Pejabat Perhubungan Alumni (PPA) Universiti Sains Malaysia (USM) menyasarkan untuk mengumpul lebih 2,000 alumni USM dalam pelbagai program pada tahun ini.
Pengarah PPA, Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata banyak kumpulan alumni sama ada mengikut tahun bergraduasi, pusat pengajian, desasiswa dan juga pasukan beruniform seperti Palapes telah berkumpul dalam program yang dirancangkan oleh mereka sendiri.
"PPA memberikan sokongan sepenuhnya dari segi fizikal dan teknikal dalam pelaksanaan program yang dapat mengembalikan nostalgia semasa pembelajaran di kampus serta membantu dalam pembangunan alma mater yang disayangi," katanya ketika ditemui di Majlis Nostalgia 30 tahun Palapes '86 USM.
Sementara itu, Sulaiman Ahmad, alumni Sains Kemasyarakatan yang pernah dinobatkan sebagai pegawai kadet terbaik USM bagi sidang 85/86 berkata latihan pasukan beruniform ini sangat membantu dalam pembentukan peribadi pelajar selain pembelajaran formal dalam bidang akademik.
"Saya ingin menasihati anak-anak muda pada hari ini untuk terus terlibat dalam pasukan beruniform yang mana pengalaman yang dilalui sungguh bermakna dan berguna ketika melangkah ke alam pekerjaan nanti.
"Kita perlu bersaing dalam kalangan mahasiswa dan kita perlu untuk terus berusaha menjadi yang terbaik jika ingin berjaya dalam hidup," nasihat Sulaiman yang kini bertugas sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia di Percetakan Nasional Malaysia Berhad.
Seramai 40 alumni hadir di program Majlis Nostalgia 30 Tahun Palapes '86 USM yang turut hadiri oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah senamrobik, forum, pameran senjata dan juga lawatan di sekitar kawasan kampus dan juga Pulau Pinang.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Zamani Abd Rahim
- Created on .
- Hits: 1342