KONTINGEN USM TEMPAT KETIGA PERARAKAN HARI KEBANGSAAN PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2016
SEBERANG PERAI, 16 September 2016 - Kontingen Universiti Sains Malaysia (USM) menceriakan warga USM apabila mendapat tempat ketiga dalam perarakan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Pulau Pinang 2016 kategori institusi pendidikan tinggi yang berlangsung pada 31 Ogos yang lalu di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.
Menurut Ketua Kontingen, Siti Aishah Abdul Raffar, seramai 60 orang staf dari Kampus Induk dan Kejuruteraan terlibat sebagai peserta perbarisan untuk USM.
"Sebenarnya saya dan rakan-rakan semua seperti tidak percaya akan kemenangan tempat ketiga ini kerana kebanyakan kontingen yang bertanding semuanya hebat-hebat belaka," katanya.
Tambahnya, saban tahun USM akan menghantar kontingen perarakan dan tahun ini sangat bermakna kerana kali pertama USM memperolehi tempat ketiga terbaik keseluruhan.
Kontingen USM juga menampilkan keunikan tersendiri apabila salah seorang daripada peserta perbarisannya adalah OKU berkerusi roda iaitu pensyarah dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Dr. Mohamad Muzammil Mohamad Noor.
Selaku pemenang tempat ketiga, kontingen USM membawa pulang sijil, wang tunai RM500 dan piala.
Majlis penyampaian hadiah berlangsung di SP Arena, Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah Pulau Pinang yang turut diserikan dengan
majlis sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Pulau Pinang hari ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1085