‘BEST CASE’ PRESENTATION AWARD JULANG NAMA AKMAL HISHAM DI LONDON BREAST MEETING 2016
KUBANG KERIAN, 15 September 2016 – Dr. Akmal Hisham Miswan, Pelajar Ijazah Sarjana Surgeri (Surgeri Plastik) Tahun 2, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), dianugerahkan sebagai pemenang 'Best Case, Best Save' Oral Presentation Award di London Breast Meeting 2016 yang diadakan di sebuah kolej berprestij di London iaitu Royal College of Physicians pada 8 hingga 10 September lalu.
Pembentangan yang bertajuk, "A Successful Breast Reduction of 14.9% Total Bodyweight without Recurrence in a 5 year Follow-up" adalah berkaitan dengan teknik pembedahan reduktif payu dara ke atas pesakit yang mempunyai sejenis penyakit 'gigantomastia' yang jarang-jarang berlaku.
London Breast Meeting merupakan satu Persidangan Pembedahan Plastik yang diiktiraf oleh British Association of Plastic, Reconstructive and Aesthetic Surgeons (BAPRAS) dan European Association of Plastic Surgeons (EURAPS).
Persidangan tersebut bukan sahaja dianggotai oleh pakar-pakar pembedahan plastik daripada United Kingdom dan Eropah malahan turut dianggotai oleh pakar daripada seluruh Amerika.
Persidangan ini turut disiarkan secara langsung dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Sepanyol, Rusia dan bahasa Cina.
Tema persidangan tahun ini adalah berkaitan dengan aspek bukti, standard dan kontroversi dalam estetik dan pembedahan pembentukan semula payu dara.
Teks/Foto: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Akmal Hisham Miswan
- Created on .
- Hits: 4641