MINGGU ST.JOHN AMBULANS MALAYSIA USM CAPAI OBJEKTIF
PULAU PINANG, 28 Mac 2015 – St. John Ambulans Malaysia (SJAM), yang usia penubuhannya telah menjangkau lebih dari 100 tahun, dillihat masih utuh dan relevan dalam memberikan pelbagai aktiviti perkhidmatan kepada masyarakat sekelilingnya.
Sesuai dengan moto ‘Perkhidmatan Bagi Manusia – Service To Mankind’, SJAM membuktikan dengan berkat semangat kesukarelawanan yang tinggi, sanggup berkorban dan berdisiplin, segala cabaran dan halangan yang dihadapi, dapat diatasi bersama-sama.
Pemerintah Kawasan Barat Daya SJAM Pulau Pinang, Tan Sri Datuk Hj. Omar Hj. Yaakob berkata, semenjak dari awal penubuhannya, telah banyak sumbangan yang diberikan kepada rakyat Malaysia, khususnya dari segi aktiviti kesukarelawanan seperti khidmat komuniti, respon terhadap kes-kes kecemasan dan bencana, program derma darah dan sebagainya.
“Dalam masa sama, saya kagum dan teruja atas kesungguhan SJAM Kor USM dalam merangka dan melaksana beberapa program komuniti seperti penganjuran saringan kesihatan di Pasar Awan Taman Tun Sardon, Larian Kesedaran Stress dan pelbagai lagi,’ ujarnya ketika merasmikan majlis penutup Minggu St.John Ambulans di Dewan Utama Pelajar USM, hari ini.
Tambah Omar lagi, bagi meningkatkan lagi kualiti pasukan SJAM Kor USM, beliau akan meminta ibu pejabat St. John Pulau Pinang agar menyediakan latihan dan tenaga jurulatih yang lebih berkemahiran tinggi dari masa ke semasa.
“Semoga dengan latihan yang sesuai, dapat melancarkan lagi segala perancangan yang telah dibuat mengikut kerangka sedia ada, dengan mengambil kira penetapan objektif yang ingin dicapai.”
Bagi Dr. Goh Sang Seong, Pengerusi Rancangan SJAM Kor USM pula, penganjuran projek yang bermula sejak 14 Mac yang lepas dilihat mencapai sasaran yang diharapkan.
“Sebagai menyokong dasar kerajaan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam pembangunan negara, kami berharap aktiviti yang dianjurkan ini mampu memberi impak yang besar satu hari nanti.”
“Kami juga mengadakan Bazar St.John, dimana penjanaan kewangan yang diterima melalui sewaan tapak niaga, disumbangkan kembali sebanyak RM 1000.00 kepada setiap organisasi seperti Sekolah Damai di Minden dan Madarasah Islamiyyah di Kuala Ketil, Kedah, dan diharapkan mampu meringankan beban kewangan yang dihadapi mereka.”
Goh juga menambah Sekolah Damai dipilih sebagai salah satu sekolah angkat dimana seramai 54 orang pelajar belasan tahun yang terdiri daripada pelarian Rohingya, Myanmar diberikan kelas tuisyen secara percuma oleh pelajar-pelajar USM yang terpilih, selain daripada SRJKT Subramaniya Barathee.
“Diharapkan, dengan adanya pelbagai program kesukarelawanan seperti ini, kami dapat menzahirkan rasa simpati dan kasih sayang serta menunjukkan keprihatinan kepada golongan yang kurang bernasib baik.”
Teks : Mohamad Danial Shahri/Foto : Mohamad Danial Shahri & Mohd Yusof Bakar
- Created on .
- Hits: 3025