30 ORANG SUKARELAWAN USM KE LAOS
PULAU PINANG, 4 November 2013 - Seramai 30 orang sukarelawan Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai oleh Penggawa Desasiswa Nurani, Haji Yusoff Abdullah mengadakan Program Sukarelawan Merentasi Asia melalui kolaborasi dengan National University of Laos (NUOL) dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di LAOS.
Menurut Ketua Kor Sukarelawan USM, Zulkifli Che’ Hussin, rombongan 26 pelajar bersama 4 orang staf itu bertolak dari Kuala Lumpur pada awal pagi 2 November lalu dan akan berada di sekitar Vientiane, Laos sehingga 9 November ini.
“Misi kami ialah untuk turut serta dalam aktiviti pemindahan ilmu di antara pelajar USM dan pelajar NUOL dengan penekanan kepada aspek penjagaan kesihatan oleh siswa-siswi Sains Perubatan di samping berinteraksi melalui pelbagai aktiviti sukan rakyat bersama penduduk Vientiane melalui aktiviti malam pertukaran budaya dan khidmat komuniti,” kata Zulkifli.
Tambahnya lagi, mereka juga akan mengadakan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam subjek matematik dan Bahasa Inggeris dan pembelajaran dan pengajaran teknologi maklumat - ICT.
“Yang penting, pada masa yang sama projek ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan dan tahap kebolehan pelajar kita dan juga dapat memberi keyakinan diri serta berupaya menanamkan nilai kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan anak-anak muda kita,” kata Zulkifli lagi.
Ketibaan mereka di Laos telah disambut oleh pejabat kedutaan Malaysia di Laos dan kemudiannya perjumpaan dengan Bahagian Perhubungan Antarabangsa NUOL sebelum memulakan perjumpaan dengan beberapa buah sekolah sekitar Vientiane, Laos. - Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1207