KAMPUS KEJURUTERAAN KORBAN LAPAN EKOR LEMBU
NIBONG TEBAL, 14 September 2016 – Sebanyak lapan ekor lembu dikorbankan dalam Majlis Korban peringkat Kampus Kejuruteraan, USM sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Ibadah Korban dan Akikah 1437/2016, Profesor Dr. Ahmad Fauzi Mohd Noor berkata daging korban berkenaan diagihkan kepada 300 penerima terdiri dalam kalangan kakitangan gred 1 - 16 dan pekerja kontrak pencucian serta masyarakat sekitar kampus.
“Kita mengagihkan sebanyak tiga kilogram daging korban beserta organ dalaman dan dua kilo tulang kepada setiap penerima,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambah Ahmad Fauzi yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, tujuan program bukan sahaja memenuhi tuntutan Islam malah dapat menyuburkan semangat kerja berpasukan dan gotong-royong dalam kalangan umat Islam khususnya warga kampus.
“Semoga ibadah korban ini diterima Allah SWT dan dapat mengeratkan hubungan sesama warga kampus dan masyarakat sekitar,” katanya lagi.
“Kita bermula agak perlahan pada tahun ini dengan hanya empat ekor lembu sahaja tetapi berjaya menerima sehingga lapan ekor pada saat-saat akhir, malah pada pagi ini masih ada lagi yang bertanyakan kekosongan bahagian sekiranya ada untuk dipenuhi,” tambah Ahmad Fauzi.
Lebih menggembirakan lagi pada tahun ini sebanyak tujuh ekor kambing turut disembelih sebagai korban dan akikah serta seekor daripadanya disumbangkan oleh pembekal kambing tersebut untuk tujuan jamuan kenduri.
“Alhamdulillah, ramai yang terlibat dalam bahagian dan tugas masing-masing. Ini menunjukkan sesuatu perkembangan yang sangat bagus dan saya jangkakan ia akan lebih meriah pada tahun hadapan dengan pelbagai cadangan baharu daripada ahli jawatankuasa antaranya sekurang-kurangnya dua ekor lembu adalah daripada korban dalam kalangan profesor,” katanya.
Turut dicadangkan sebagai penambahbaikan adalah hebahan awal dan penglibatan korban secara bayaran ansuran yang akan diperkenalkan mulai tahun hadapan.
Program korban yang berlangsung di Pusat Islam Kampus Kejuruteraan itu berjaya dilaksanakan dalam suasana meriah dengan kehadiran lebih 200 petugas terdiri dalam kalangan warga kampus dan masyarakat setempat.
Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin
- Created on .
- Hits: 1284