BERKORBAN UNTUK MENJADI YANG TERBAIK
USM, PULAU PINANG, 12 September 2016 - Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk sanggup berkorban demi menjadi umat yang terbaik.
Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, Hari Raya Aidil Adha adalah perayaan yang sangat besar maknanya kepada umat Islam bukan sahaja bagi mereka yang menunaikan haji di Makkah Al-Mukarramah tetapi juga umat Islam seluruhnya yang dituntut untuk menyambutnya dalam muhasabah diri yang panjang.
"Kita perlu melihat, memahami dan mentafsirnya dengan penuh tulus ikhlas, bukan sahaja dengan melakukan ibadah qurban secara ikhlas tetapi juga mendidik jiwa untuk sanggup berkorban kerana Allah untuk kemashlahatan agama, masyarakat dan negara serta dunia seluruhnya dalam jangka panjang," kata Omar ketika berucap di Mesjid Al-Malik Khalid pagi ini.
Tegasnya pengorbanan itu termasuklah kesanggupan untuk menentang hawa nafsu yang mengajak melakukan kemungkaran, mengorbankan keinginan-keinginan yang membawa mudarat kepada diri dan masyarakat serta kesanggupan untuk berkorban untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dengan melakukan apa jua pengorbanan untuk kejayaan pada masa hadapan.
"Pengorbanan bermakna kesediaan kita untuk memilih yang terbaik dalam kalangan yang baik-baik apatah lagi yang tidak baik, kesediaan berkorban untuk menjadikan kita sentiasa di hadapan dalam semangat APEX, menjadi hanya yang terbaik serta berkorban apa sahaja termasuk perasaan, dalam memastikan kita terus memimpin dan membawa kebaikan kepada orang lain dan dunia seluruhnya," katanya sebelum menunaikan solat sunat Aidil Adha di sini bersama-sama lebih 1,000 orang yang memenuhi Mesjid Al-Malik Khalid sejak awal pagi.
Khutbah dibacakan oleh Imam Mesjid Al-Malik Khalid Ustaz Hj. Zamrus Mohd Ali.
Selesai solat sunat Aidil Adha, Naib Canselor beramah mesra dengan jemaah termasuk pelajar antarabangsa dan kemudiannya memulakan ibadah korban.
Di Kampus Induk Pulau Pinang, sebanyak 15 ekor lembu dan 15 ekor kambing dikorbankan manakala di Kampus Kesihatan sebanyak 8 ekor lembu dikorbankan, di Kampus IPPT Bertam sebanyak 3 ekor lembu dan di Kampus Kejuruteraan sebanyak 8 ekor lembu dan 6 ekor kambing dikorbankan. Semua kampus kecuali Kampus Induk mengadakan korban pada Hari Raya Aidil Adha ketiga, Rabu ini.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1264