BIOSAINS FOKUS KOLABORASI USM & TSU
PULAU PINANG, 28 MAC 2015 – Biosains adalah antara bidang utama yang akan dibangunkan secara lebih intensif menerusi kolaborasi Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Tomsk State University (TSU), Rusia.
Buat permulaan, kerjasama itu menjurus kepada membangunkan kajian biomaterial untuk tujuan perubatan yang diyakini akan memberi manfaat kepada pembangunan bidang ilmu apatah lagi untuk kesejahteraan masyarakat global.
Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan berkata, USM sememangnya mempunyai pakar-pakar penyelidik dalam bidang berkenaan dan percaya ia boleh dikembangkan melalui usahasama TSU.
Katanya, TSU juga berhasrat memperkembangkan kolaborasi dalam bidang-bidang lain, antaranya kimia, fizik, nano teknologi, kejuruteraan elektrik dan sebagainya yang bertepatan dengan nic USM.
“Boleh dikatakan kolaborasi ini amat unik dan bersesuaian kerana USM dan TSU mempunyai halatuju dan matlamat yang sama iaitu untuk mengejar kecemerlangan.
“USM sebagai universiti memegang status APEX dengan TSU, antara universiti terbaik dan tertua di Rusia akan membincangkan secara terperinci bagi menjayakan matlamat kolaborasi ini dalam masa terdekat,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sejurus majlis penandatanganan memorandum persefahamn dengan TSU di sini hari ini.
Hadir mewakili TSU ialahTimbalan Rektor Hal-Ehwal Antarabangsanya, Professor Dr. Artem Rykun.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Madya Dr. Ahmad Sofiman Othman dan pensyarah-pensyarah kanan serta pegawai utama universiti.
Sementara itu, Artem berkata, kolaborasi dengan USM adalah yang terbaik dan institusi pendidikan tinggi kedua tertua di Malaysia ini disifatkan mempunyai kebersamaan dengan TSU dalam pelbagai aspek.
“TSU ditubuhkan pada 1888 dan sehingga kini telah melalui pelbagai fasa pembangunan dan terkini TSU baru memulakan inisiatif universiti penyelidikan bagi menempatkan institusi dalam senarai universiti terbaik dunia,’’ ujarnya.
Tambah beliau, walaupun USM masih baru dibandingkan dengan TSU namun pencapaian USM dilihat begitu signifikan dan menakjubkan, dengan pelbagai pengiktirafan baik di peringkat tempatan mahu pun global.
Biomaterial dalam bidang perubatan antara lain membolehkan saintis mencari alternatif atau penemuan baru yang menambah baik kualiti bidang perubatan dan kesihatan.
Antara contoh penggunaan bahan berasaskan biomaterial adalah pada proses pembedahan yang melibatkan proses jahitan, yang mana jika dahulu benang yang digunakan untuk menjahit luka perlu ditarik setelah melalui tempoh tertentu.
Namun dengan adanya kajian biomaterial, saintis berupaya menghasilkan benang bersifat bioserasi dan bioasimilasi yang boleh diresap oleh tubuh dan mudah digunakan. Teks: MARZIANA MOHAMED ALIAS / FOTO: MOHD FAIRUS MD ISA & ZAMANI ABDUL RAHIM
- Created on .
- Hits: 1182