FIT SISWI 2.0 BUDAYAKAN AKTIVITI KESUKANAN SISWI USM
USM, PULAI PINANG, 9 September 2016 - "Wanita Sihat, Cakna Dunia" merupakan tema penganjuran Program Fit Siswi 2.0 dalam melahirkan siswi yang bukan sahaja hebat dalam akademik tetapi bersama-sama menyemarakkan semangat bersukan.
Menurut Pengarah Projek, Najibah Ismail, program ini diadakan untuk membudayakan aktiviti kesukanan dalam kalangan peserta daripada golongan siswi yang merupakan majoriti pelajar di kampus induk USM.
"Program kali kedua ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta dan ini menunjukkan siswi USM berminat untuk menyertai program berunsur kesukanan cuma program-program yang menjurus kepada penyertaan kaum hawa ini perlu dipertingkatkan lagi," jelas pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan ini.
Sementara itu, peserta program, Nur Athira Aznul pula berharap Program Fit Siswi ini akan diteruskan dan pengisian program perlu dipelbagaikan selain senaman zumba seperti mewujudkan pengisian berunsurkan permainan dan juga forum mengenai wanita.
Tambahnya, program ini sangat berkesan dalam mengeratkan hubungan antara pelajar dan juga aktiviti riadah yang sihat untuk siswi dalam membudayakan kehidupan yang sihat melalui senaman.
Seramai 500 peserta dalam kalangan pelajar perempuan USM terlibat untuk program ini yang bertemakan pakaian merah/hitam di Stadium USM kelmarin.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1023