PERFECT CAM INOVASI TERKINI KESAN SIMPTOM NYSTAGMUS
KUBANG KERIAN, 8 September 2016 – Nystagmus ialah satu penyakit mata hitam yang sentiasa bergerak-gerak tanpa dapat dikawal yang juga dikenali sebagai ‘dancing eyes’ atau ‘jerking eyes’. Para doktor dan pengkaji masalah ini mengklasifikasikan gerakan ini sebagai pendulum (bandul jam) yang bergerak perlahan ke satu arah dan laju ke arah bertentangan.
Dalam proses pembelajaran di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), perawat serta pelajar perubatan mengambil masa yang lama untuk membuat prosedur mengesan masalah nystagmus dalam kalangan pesakit vertigo.
Pada satu masa, seramai 30 orang pelajar bergilir-gilir mengulang pemeriksaan yang sama ke atas seorang pesakit hanya dengan menggunakan mata kasar yang menimbulkan ketidakselesaan kepada pesakit serta proses pembelajaran yang tidak berkesan kerana ketiadaan alat khusus yang boleh digunakan untuk prosedur tersebut.
Hal ini menjadi inspirasi kepada Kumpulan Genius Eleven menghasilkan projek inovasi ‘Perfect Cam’ dengan menggunakan alat-alat seperti goggle, kamera webcam berdefinisi tinggi, getah boleh laras, span kalis air dan wayar USB berkelajuan tinggi.
Penggunaan goggle adalah sebagai tapak untuk melekatkan kamera kerana boleh dilaras mengikut keselesaan pesakit. Kamera kecil dan ringan dipasang bagi memudahkan pemakai lebih stabil untuk merakam imej berdefinisi tinggi dalam menganalisis data.
Pelaksanaan prosedur menggunakan Perfect Cam ini, hanya doktor pakar sahaja yang membuat pemeriksaan ke atas pesakit manakala pelajar melihat imej melalui paparan di skrin komputer.
Perfect Cam diuji sejak tahun 2015 dan mendapat pujian daripada doktor, perawat, pelajar serta pesakit yang terlibat kerana banyak memberi faedah dan manfaat serta penjimatan daripada pelbagai aspek seperti keselesaan kepada pesakit, tempoh pemeriksaan dan menerima rawatan dapat disingkatkan, data yang diambil lebih tepat serta proses pembelajaran lebih berkesan dan berkualiti apabila peluang melihat dan mempelajari nystagmus lebih interaktif.
Menurut salah seorang ahli Genius Eleven, Mazni Yusoff berkata, penghasilan projek tersebut amat penting kerana Perfect Cam satu-satunya alat yang dapat digunakan untuk mengesan simptom nystagmus dengan tepat.
“Sebelum ini, perawat terpaksa memeriksa mata pesakit vertigo secara dekat manakala pelajar perubatan terpaksa bergilir-gilir untuk melihat mata pesakit dan ianya tidak praktikal akan tetapi dengan terhasilnya Perfect Cam ini, proses tersebut menjadi lebih mudah serta paling penting, penghasilan projek inovasi ini tidak memakan belanja yang besar,” ujar beliau.
Tambah Mazni, sebelum penggunaan alat tersebut, purata masa yang diambil untuk pemeriksaan nystagmus untuk seorang pesakit adalah selama 38 minit tetapi dengan Perfect Cam, ianya dapat dikurangkan kepada 15 minit sahaja.
Kumpulan Genius Eleven dianggotai oleh seramai 10 orang ahli yang terdiri daripada jururawat serta pembantu perawatan manakala Profesor Madya Dr. Rosdan Salim bertindak sebagai fasilitator kumpulan tersebut.
Kejayaan pertama yang diperolehi oleh Genius Eleven adalah dalam pertandingan Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK), Peringkat Kampus Kesihatan yang dipilih sebagai johan kategori Teknikal.
Manakala pada 24 Ogos yang lalu, Genius Eleven sekali lagi melakar kemenangan apabila dianugerahkan Emas dalam Konvensyen Team Excellence Wilayah Timur 2016 dan akan menyertai pertandingan peringkat kebangsaan yang dijangka diadakan pada Oktober depan di Putrajaya.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Ihsan Kumpulan Genius Eleven
- Created on .
- Hits: 1106