USM PERKUKUH KERJASAMA PINTAR DENGAN TORAY
PULAU PINANG, 8 September 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jaringan kerjasama pintarnya dengan rakan industri, TORAY Group (Malaysia) Of Companies (Toray) bagi memperkasa kecemerlangan dalam bidang penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan berkata, terbaru, USM menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent - LoI) dengan Toray yang disifatkan membuka fasa baru kepada kolaborasi yang telah membuahkan pelbagai kejayaan itu.
Katanya, LoI itu berperanan memperkukuh komitmen kedua-dua pihak dalam membudayakan inisiatif pemindahan ilmu yang selari dengan agenda USM iaitu untuk menjadi sebuah universiti yang berintensifkan penyelidikan rentas bidang yang relevan kepada industri dan komuniti.
“Kerjasama unik di antara USM dengan Toray telah lama bermula dengan berasaskan ekosistem quadruple helix yang menghubungkan di antara universiti, industri, komuniti dan juga agensi-agensi kerajaan.
“Justeru, strategi unik yang menjadi agenda terbaharu dengan Toray ini diharap dapat membuahkan hasil dalam usaha kedua-dua pihak berusaha ke arah mewujudkan masa hadapan yang lestari khususnya dalam bidang pendidikan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis penandatanganan LoI berkenaan di sini baru-baru ini. Yang hadir sama ialah Naib Presiden Eksekutif Toray, Koichi Abe serta pegawai-pegawai utama dari USM dan Toray.
Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 790