JALINAN KERJASAMA BIDANG KOMUNIKASI DIMETERAI
USM, PULAU PINANG, 7 September 2016 – Jalinan kerjasama melalui penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) bagi bidang komunikasi antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universitas Mercu Buana (UMB), Yogyakarta telah dimeterai dalam satu majlis ringkas di sini hari ini.
Menurut Pemangku Dekan, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, jalinan kerjasama yang akan dijalankan ini merangkumi penerbitan dan penyelidikan secara bersama dan pada masa akan datang Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangan untuk kerjasama yang lebih khusus dan spesifik.
“USM menyambut baik hasrat UMB untuk jalinan kerjasama ini dan berharap ianya akan memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” tambah Adnan yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni).
Mewakili UMB adalah Dekan Fakultas Ilmu Komunikasi & Multimedia, Dr. Heri Budianto bersama pensyarahnya Didik Haryadi Santoso.
“Saya berharap USM akan menjadi teman baik UMB dan saya mencadangkan MoU itu akan ditandatangan sama ada pada bulan Oktober atau November tahun ini juga bersempena dengan persidangan yang akan diadakan di Yogyakarta nanti,” kata Heri.
Turut hadir ialah Timbalan Dekan Akademik, Pelajar dan Alumni PPK, Dr. Nik Norma Nik Hassan dan juga Timbalan Dekan Penyelidikan, Siswazah dan Jaringan PPK, Dr. Bahiyah Omar serta Pengerusi Program Dr. Nurzali Ismail.
Nik Norma juga menjemput UMB untuk menghantar delegasi pelajar dan pensyarah mengikuti program tahunan PPK iaitu program IMPACT 2016 yang akan diadakan pada 8-9 Disember ini.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain / Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1104