PROFESOR DR. BADARUDDIN MOHAMED TERIMA ANUGERAH TERTINGGI USSH, VIETNAM
USM, PULAU PINANG, 7 September 2016 - Pakar Perancangan dan Pembangunan Pelancongan dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Badaruddin Mohamed hari ini menerima Anugerah Pingat Merit daripada University of Social Sciences and Humanities (USSH), Vietnam atas sumbangan yang sangat signifikan dalam bidang pembangunan bandar dan pelancongan serta penglibatan akademik di negara Vietnam.
Beliau yang ditemui menzahirkan rasa bersyukur dan teruja kerana tersenarai antara penerima anugerah tertinggi yang diberikan kepada pakar-pakar dalam bidang tertentu yang telah banyak menyumbang terhadap pembangunan USSH khususnya dan negara Vietnam amnya.
“Saya terlibat bersama-sama USSH kira-kira lapan tahun yang lalu dengan tertubuhnya International Academic Consortium For Sustainable Cities (IACSC) dan daripada persidangan tersebut banyak aktiviti yang dilakukan misalnya perkongsian pembangunan kluster penyelidikan dalam pelan pembangunan bandar dan pelancongan,” katanya.
Tambahnya, pengiktirafan yang diberikan ini juga merupakan suatu titik permulaan kerjasama di antara USM dan USSH dalam membina jaringan pendidikan secara bersama.
“USSH berminat menjadikan USM sebagai satu model pembangunan akademik dengan menghantar kakitangan akademik mereka untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah di USM kelak,” jelas Badaruddin selepas Majlis Penyampaian Pingat Merit oleh wakil Presiden USSH, Profesor Dr. Nguyen Minh Hoa.
Sementara itu, Nguyen berkata, anugerah yang diberikan ini merupakan suatu penghargaan universiti terhadap usaha-usaha beliau dalam libatsama pembangunan bandar di Vietnam selain penglibatannya di universiti.
“Beliau juga telah banyak memberi pendedahan tentang budaya dan agama Islam di Malaysia melalui pembentangan kertas kerja di persidangan-persidangan yang dihadirinya di Vietnam dan pengajarannya kepada pelajar USSH yang sekaligus dapat memberi pengetahuan kepada masyarakat di Vietnam yang masih kurang memahami budaya masyarakat Malaysia,” tambahnya lagi.
Pakar Pengurusan Sumber Air dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Profesor Dr. Chan Ngai Weng menerima pengiktirafan yang sama pada April lepas atas sumbangannya dalam bidang pengurusan alam sekitar terutamanya sumber air dan pengurusan banjir.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 2447