PENDAFTARAN PELAJAR BAHARU PASCA SISWAZAH BERJALAN LANCAR
USM, PULAU PINANG, 3 September 2016 - Pendaftaran diri pelajar baharu pasca siswazah mod campuran dan kerja kursus Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini berlangsung dengan lancar dan baik.
Menurut Dekan Institut Pengajian Siswazah USM, Profesor Dr. Rozman Hj Din, bagi melancarkan proses pendaftaran diri, para pelajar telah diminta untuk melakukan proses pra pendaftaran (self registration), proses memuat naik foto untuk kad pelajar dan juga bayaran yuran pendaftaran secara atas talian sebelum hari pendaftaran.
"Perubahan turut melibatkan proses semakan dokumentasi yang lebih sistematik," tambahnya.
"Pendaftaran pelajar baharu pasca siswazah dibuka selewat-lewatnya hingga minggu pertama semester bermula. Namun demikian pendaftaran diri bagi pelajar antarabangsa diberikan kelonggaran sehingga minggu kedua," kata Rozman.
Jelasnya, untuk mod campuran dan kerja kursus, keseluruhannya sebanyak 1,830 tawaran dikeluarkan kepada calon manakala pecahan bagi tawaran yang dikeluarkan adalah sebanyak 1,392 (1,109 adalah calon tempatan dan 283 untuk antarabangsa) untuk kampus induk dan selebihnya adalah di kampus cawangan.
Bagi mod penyelidikan pula, sebanyak 1,931 (1,150 calon tempatan dan 781 calon antarabangsa) tawaran telah dikeluarkan bagi kemasukan semester pertama, Sidang Akademik 2016/2017. Pendaftaran diri bagi calon mod penyelidikan dibuka sepanjang tahun.
Dari Januari hingga 1 September 2016, sejumlah 1,020 orang pelajar pasca siswazah telah mendaftar diri di USM iaitu 842 orang pelajar tempatan manakala 178 orang lagi ialah pelajar antarabangsa.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Badrul Munawir Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 800