TAMAN REKREASI UNIVERSITI ANTARA ASET PENJANAAN KEWANGAN USM MASA HADAPAN
USM, PENANG, 3 September 2016 - Taman Rekreasi Universiti yang merupakan aset universiti perlu terus dipelihara dan dijaga dengan baik untuk terus dibangunkan pada masa hadapan.
Demikian kata Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang bersama-sama lebih 300 orang pelajar dari 6 buah desasiswa kampus induk menanam sebanyak 100 batang pokok buah-buahan termasuk spesis durian dalam Program Penanaman Anak Pokok 'Adopt A Tree' di Taman Rekreasi USM pagi ini.
“Pokok-pokok yang ditanam dalam program hari ini perlulah dijaga dengan baik dan hasilnya kelak adalah untuk universiti serta perlu dipastikan yang terbaik agar dapat menjana pulangan untuk universiti.
"Amanah untuk menjaga Taman Rekreasi ini adalah tanggungjawab bersama warga USM dan para sukarelawan USM dan dari semasa ke semasa taman ini dapat digunakan untuk aktiviti-aktiviti universiti seperti pimpin siswa misalnya,"katanya.
Omar juga menyeru para pelajar untuk mencontohi alumni, staf-staf dan pegawai-pegawai yang terus kembali ke kampus berbakti dan menyemai sifat cinta kepada universiti yang berkonsep lestari dan dalam taman ini.
Program ini dianjurkan bersama oleh Sekretariat Kampus Sejahtera dan Taman Rekreasi Universiti.
Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein, Dekan-dekan, ketua jabatan dan pegawai-pegawai USM.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1578