USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

COMBI 2016 PUPUK KESEDARAN BAHAYA NYAMUK AEDES

 DSC3420

USM, PULAU PINANG, 31 Ogos 2016 - Program Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (Communication for Behavioural Impact - COMBI 2016) anjuran Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) mampu memberi kesedaran terhadap pentingnya penjagaan alam sekitar dalam membanteras nyamuk aedes yang boleh menyebabkan penyakit demam denggi.

Pengarah Pusat Sejahtera USM merangkap penyelaras Program COMBI 2016, Dr. Normala Abdul Wahid berkata, program yang buat pertama kali diadakan ini merupakan salah satu inisiatif Pusat Sejahtera bersama-sama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dalam memberi kesedaran tentang bahayanya nyamuk aedes yang boleh menyebabkan demam denggi seterusnya membawa maut.

 DSC3446

"Pada hari ini, terdapat tiga aktiviti utama yang dijalankan antaranya pembentangan oleh wakil pelajar setiap desasiswa tentang langkah-langkah kawalan nyamuk aedes di desasiswa masing-masing selain gotong-royong kawasan yang berpotensi pembiakan nyamuk aedes dan pertandingan poster antara setiap desasiswa yang bertajuk 'Merdeka Lestari daripada Denggi'," tambah Dr Normala.

Jelasnya lagi program COMBI 2016 ini merupakan salah satu program Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijalankan di seluruh Malaysia dalam memberi kesedaran tentang pencegahan penyakit bawaan nyamuk aedes ini.

aedes14

"Saya harap program ini dapat memberi kesedaran kepada warga USM tentang bahaya demam denggi ini sekaligus dapat mengamalkan pencegahan pembiakan nyamuk aedes di tempat kerja dan kawasan tempat tinggal mereka," katanya ketika ditemui sempena program COMBI 2016 di sini, hari ini.

 DSC3440

Sementara itu, pelajar baharu USM, Wong Xian Xiang, 20, yang turut terlibat dalam aktiviti pada hari ini berkata, program yang dijalankan ini mampu memberi kesedaran terhadap para pelajar tentang bahayanya nyamuk aedes jika tidak dihapuskannya.

"Di samping itu juga, saya dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dan berkenalan dengan rakan-rakan baru," kata pelajar jurusan Sains Matematik itu.

 DSC3442

Perkara yang sama turut diakui oleh pelajar jurusan Pengurusan, Nuraida Shafiza Abd Jalil, 21, yang merasakan aktiviti gotong-royong dapat menyihatkan tubuh badan selain dapat mengekalkan keindahan alam semulajadi di USM yang terkenal sebagai sebuah universiti dalam taman.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Zamani Abd. Rahim

  • Created on .
  • Hits: 2431

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024