USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEJAYAAN TIDAK AKAN DATANG DENGAN MUDAH

scomi DSC0946

NIBONG TEBAL, 30 Ogos 2016 – “Kejayaan tidak akan datang dengan mudah, ia memerlukan pengorbanan, keberanian dan kesungguhan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Scomi Engineering Bhd, Rohaida Ali Badaruddin ketika menyampaikan taklimat kepada pelajar baharu bidang kejuruteraan sidang akademik 2016/2017 di sini hari ini.

Menurut wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Scomi itu, untuk menjadi jurutera yang hebat kita perlu lakukan yang terbaik dan sentiasa perlu kehadapan dan berani untuk memberikan pendapat serta berfikir untuk memberikannya semula kepada masyarakat.

“Untuk menjadi seorang jurutera yang hebat, anda perlu cemerlang dan dapat menerapkan pengetahuan matematik, sains dan asas kejuruteraan dalam penyelesaian masalah kejuruteraan yang kompleks.

Scomi DSC0931

“Anda perlu mengaplikasikan penyelesaian itu untuk memenuhi keperluan yang dinyatakan dengan mempertimbangkan juga keperluan alam sekitar, kesihatan, keselamatan awam, budaya dan masyarakat,” kata graduan Matematik (Minor Sains Komputer) dari University of Texas di El Paso, Amerika Syarikat itu.

Tambahnya, sebagai seorang jurutera, perlu mengetahui masalah yang ingin diselesaikan dan hasilnya perlu menjadikan sesuatu proses itu lebih mudah dan lebih baik.

Menjawab soalan pelajar mengenai golongan wanita tidak bermotivasi untuk menjadi jurutera yang dipelopori kaum lelaki itu, beliau menegaskan bahawa mereka tidak perlu mempunyai rasa terpinggir atau telah membuat keputusan yang tidak tepat untuk menceburi profesion ini.

Tegasnya, setiap manusia mempunyai kebolehan dan kemampuan yang sama dan ia perlu digarap untuk menjadi apa yang diinginkan oleh seseorang dalam kehidupan masing-masing.

“Saya berharap semua bakal jurutera yang berada di hadapan saya ini, kuatkan jati diri masing-masing, nikmati kehidupan di Universiti dengan gembira dan belajar bersungguh-sungguh, kejayaan pasti menanti anda semua,” nasihat Rohaida kepada kira-kira 489 pelajar baharu yang mendaftar sebagai pelajar kejuruteraan USM itu.

scomi DSC0938

Yang hadir sama dalam majlis tersebut ialah Penolong Naib Canselor yang juga Pengarah Kampus Kejuruteraan Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Siswazah, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Madya Dr. Cheong Kok Keong dan Timbalan Pendaftar, Kampus Kejuruteraan, Rohilatifah Harun.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin

  • Created on .
  • Hits: 1024

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024