GUNA PELUANG SEBAIK MUNGKIN, NASIHAT TNC JIM
USM, PULAU PINANG, 30 Ogos 2016 - Pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) diminta mengguna peluang yang ada semasa mengikuti pengajian dengan sebaik mungkin.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, yang akan menilai kejayaan seseorang pelajar ialah bakal majikan terutamanya industri yang hanya mengambil yang terbaik dalam kalangan siswazah yang ada.
"Ambillah peluang untuk belajar bekerja bersama-sama dan bekerja secara berpasukan, menghayati nilai-nilai yang perlu untuk masa hadapan dan melengkapkan diri dengan segala yang perlu untuk mudah memasuki pasaran dan diterima bakal majikan," kata Abdul Rahman kepada 160 pelajar baharu ketika menghadiri Majlis Makan Malam bersama penghuni Desasiswa Bakti Permai Cahaya Gemilang di Pusat Ko-Kurikulum sini.
Tambahnya, USM dikenali dengan kecemerlangannya termasuk dalam kalangan bakat-bakat yang dibangunkan di sini sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah universiti APEX yang mementingkan yang terbaik.
"Ibu bapa, masyarakat dan negara mengharapkan kejayaan para pelajar pada masa hadapan, oleh itu saudara-saudari perlu terus berusaha gigih menghadapi cabaran yang ada tanpa mudah putus asa dengan memastikan tempoh berada di universiti adalah yang terbaik," nasihatnya lagi.
Yang turut hadir ialah Penggawa Desasiswa Bakti Permai Cahaya Gemilang Shafie Ariffin, Penolong-penolong Penggawa Dr. Rosenani S. M Anwarul Haque dan Dr. Nurhidayah Md. Ulang serta pengurusan desasiswa.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1091