USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM WUJUD TABUNG WAKAF DAN ZAKAT BANTU PELAJAR B40

IMG 9746

PULAU PINANG, 30 Ogos 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) akan melancarkan tabung wakaf dan zakat dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar kurang berkemampuan selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, Universiti telah bersedia dan giat mengambil pelbagai inisiatif untuk menjana kewangan bagi membantu para pelajar yang dikategorikan dalam kumpulan pendapatan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

IMG 9721

IMG 9832

IMG 9852


Katanya, Universiti juga telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada pelajar kurang berkemampuan melalui Yayasan USM hasil dari sumbangan penderma dari pelbagai latar belakang baik daripada individu, korporat, agensi swasta, badan kebajikan dan sebagainya.

“Sewaktu ditawarkan juga, ada pelajar sebelum ini yang telah diberi bantuan khas bagi membolehkan mereka mendaftar manakala sebahagiannya telah diberikan biasiswa-biasiswa khas yang ditaja oleh para penyumbang.

“USM sejak beberapa tahun kebelakangan mengambil ratusan pelajar dari kalangan B40 dan yakin dengan segala perancangan Universiti akan berjalan lancar dalam menjamin golongan ini dibantu dengan sewajarnya,” katanya dalam sidang media sejurus Majlis Sambutan Siswa, Program Siswa Lestari di sini hari ini.

Beliau berkata, USM juga turut melatih pelajar berdikari dan dapat mencari sumber pendapatan yang sesuai dengan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

IMG 9899

IMG 9909

IMG 9924

“Di USM ada banyak gerai yang diusahakan oleh pelajar melalui pelbagai skim galakan keusahawanan yang kita sediakan. Selain itu, mereka juga boleh mencari peluang menjadi pembantu penyelidik dan sebagainya untuk menjana kewangan namun perlu diingatkan supaya merancang masa dengan baik dan tidak mengganggu pengajian mereka,” katanya.

Omar turut menasihatkan pelajar supaya merujuk kepada pihak yang berkenaan seperti pusat pengajian mahu pun Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni jika berdepan masalah kewangan atau kerumitan tertentu supaya ia dapat diselesaikan dengan baik dan tidak menimbulkan masalah yang tidak diingini.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1155

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024