USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IBU MUDA SAMBUNG PENGAJIAN SELEPAS MILIKI ANAK PERTAMA

USM, PULAU PINANG, 30 Ogos 2016 – Usia remaja adalah usia yang paling sesuai bagi seseorang itu untuk mengejar cita-cita setelah tamat alam persekolahan bagaimana pun terdapat juga yang bertemu jodoh pada usia muda dan cita-cita mengejar impian tergendala.

Semangat kental dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh ibu muda ini, Ashikeen Che Azemy, 21, seharusnya dipuji demi mencapai cita-citanya untuk berjaya dalam bidang akademik apabila berjaya menempatkan diri di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sidang akademik 2016/2017.

Berkahwin pada usia 19 tahun tidak pernah dikesali kerana menganggap itu sebagai jodoh dan ketentuan Tuhan.

Walaupun telah menjadi ibu kepada seorang anak dan kini sedang sarat mengandungkan anak keduanya, namun cita-citanya tidak pernah padam malah impiannya untuk meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah.

Dia masih menyimpan cita-cita yang tinggi untuk berjaya dalam pelajaran pada suatu hari nanti dan membuktikan kepada keluarganya bahawa dia boleh membanggakan mereka.

“Saya seorang yang bercita-cita tinggi dan masih mempunyai minat untuk belajar. Semasa saya memberitahu suami yang saya ingin menyambung pelajaran, mulanya mendapat tentangan juga, akhirnya suami mengalah demi cita-cita saya,” tambahnya yang akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan.

Ashikeen yang memasuki USM melalui saluran alternatif warga sukan juga mengimpikan untuk mengharumkan nama USM melalui sukan hoki yang diceburinya sejak dari bangku sekolah lagi.

“Minat yang mendalam terhadap sukan hoki ini akan saya kembangkan melalui penglibatan di peringkat universiti nanti supaya dapat mengharumkan nama USM,” katanya yang ditemui selepas Majlis Sambutan Siswa Lestari di sini, hari ini.

Lebih 3,600 pelajar baharu mendaftar untuk sesi kemasukan 2016/2017 secara serentak di ketiga-tiga kampus USM Ahad lalu.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 771

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024