JADI NOMBOR SATU, TERBAIK, KATA NC
USM, PULAU PINANG, 30 Ogos 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini meminta agar pelajar dan warganya sentiasa menjadi nombor satu yang terbaik.
"Itulah sebenarnya digambarkan dan interpretasi apabila menggalas tanggungjawab sebagai sebuah universiti memacu kecemerlangan atau APEX pada tahun 2008 dan ini mestilah sentiasa dipegang oleh kita semua, termasuk pelajar," kata Omar kepada kira-kira 2,000 orang pelajar baharu dalam Majlis Sambutan Siswa Lestari di sini.
Tambahnya, USM misalnya memulakan idea kelestarian pada tahun 2008 dengan menswadaya pelajar dalam pelbagai kempen untuk menjaga alam termasuk menolak penggunaan polistrina dan plastik yang kemudiannya menjadi agenda nasional.
Kata Omar, USM adalah universiti sains pertama di negara ini dengan jenama kelestarian yang sentiasa berusaha menjadi yang terbaik dan berada pada kedudukan pertama.
Kesungguhan USM memperjuangkan isu kelestarian ini jelas terlihat melalui penubuhan Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Sekretariat Kampus Sejahtera dan Pusat Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (EfSD) dan pelbagai usaha lain yang dibuat.
"Sehingga kini kita masih berpegang kuat kepada amalan kelestarian ini dan mengharapkan semua pelajar menyertainya dengan sentiasa memikirkan tentang kepentingan kelestarian masa hadapan seperti menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, menjimatkan penggunaan air dan sumber-sumber lain atau 'cost-saving and energy saving'.
"Semua ini juga dilakukan melalui empowerment atau swadaya pelajar yang mengambil inisiatif melakukannya secara sukarela – gerakan kesukarelawanan yang telah djamalkan sejak awal lagi," kata Omar.
Kira-kira 3,700 orang pelajar baharu mendaftar diri di Kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Kesihatan Kelantan dan Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal Ahad lalu.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1167