16 ORANG DELEGASI JEPUN SERTAI PROGRAM KELESTARIAN
USM, PULAU PINANG, 29 Ogos 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Regional Centre Of Expertise (RCE) Pulau Pinang, Japan Malaysia Association dan Environmental Restoration And Conservation Agency Of Japan (ERCA) menganjurkan program ERCA: Overseas Training Course 2016 yang merupakan kolaborasi antara Jepun dan Malaysia.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam ucapan penutup program ini berkata, pendidikan dalam kelestarian merupakan cabang utama yang dititik beratkan USM dalam memupuk pelajar menjadi masyarakat yang menghormati dan menjaga alam sekitar.
“Saya percaya melalui pelbagai program yang dijalankan dalam ERCA 2016 ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran tentang amalan kehidupan lestari tetapi juga kesediaan pelajar untuk mengubah tingkah laku dan sikap demi kelestarian masa hadapan,” tambahnya.
Sementara itu, Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang Kiyoshi Itoi pula mengucapkan terima kasih kepada pihak USM terutamanya RCE Pulau Pinang dalam menjayakan program tersebut.
“Dengan adanya program seumpama ini, dapat memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar Jepun supaya lebih menghargai alam sekitar umpamanya tentang kelebihan hutan paya bakau terhadap alam sekitar,” jelasnya lagi.
Program yang disertai oleh 16 orang pelajar dari 10 buah universiti di Jepun ini juga meliputi aktiviti penanaman pokok bakau selain turut mengadakan lawatan di sekitar Kuala Sepetang Perak dan bengkel pengurusan sisa pepejal.
Peserta program ini, Risa Ishikawa, 20, berpuas hati dengan perjalanan program yang diadakan selain dapat menimba ilmu tentang kepentingan kelestarian di Malaysia.
“Saya dapat mengenali Malaysia khususnya Pulau Pinang dengan lebih dekat lagi selain dapat melihat keindahan hutan paya bakau belum dicemari pencemaran,” kata pelajar daripada Keio University ini lagi.
Tambahnya, selain keunikan tempat-tempat di Pulau Pinang, makanan dan masyarakat setempat di sini ramah dan sentiasa membantu.
Yang hadir sama dalam majlis penutupan program ini, Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan USM, Profesor Dr. Azlan Amran.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1323