USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JADI NELAYAN KUMPUL DUIT MASUK USM

IMG 9105

PULAU PINANG, 29 Ogos 2016 – Bertekad untuk membina masa depan cemerlang, seorang anak muda sanggup merasai perit-getir bergelar nelayan bagi mengumpul wang untuk mencapai cita-cita sebagai pendidik dan meraih ijazah di Universiti Sains Malaysia (USM).

Muhammad Amin Mat Zuki, 20 yang berasal dari Tumpat, Kelantan berkongsi rasa hiba apabila mengenangkan betapa sukar mencari sesuap nasi, apatah lagi itulah punca pencarian bapanya dalam membesarkan beliau dan enam lagi adik-beradiknya.

Anak ketiga yang memeperoleh keputusan cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.92 dalam peperiksaaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu berkata, pengalaman selama lapan bulan bergelar nelayan memberi satu kesedaran pada dirinya.

“Saya tekad mahu mengubah nasib dan ingin berbakti kepada kedua ibu-bapa, bukan senang untuk menjadi senang dan bapa tidak pernah putus menasihati saya untuk mengejar ilmu demi masa hadapan.

IMG 9032

“Banyak kali saya berdepan detik sukar ketika di laut namun pengalaman dilanda ribut dan bot hampir karam ketika berada kira-kira 10 hingga 15 batu nautika memang tidak dapat dilupakan dan membuatkan saya cemas, panik dan resah, mujur ada bapa yang menenangkan keadaan,” katanya.

Tambah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab II itu, pendapatan sehari yang diperoleh adalah sekitar RM60 namun adakalanya jumlah itu jauh lebih kecil, bergantung kepada cuaca, musim dan sebagainya.

Pun begitu, anak muda cekal ini beranggapan tidak semua orang dapat merasai pengalaman seumpama itu yang banyak mengajar beliau untuk tabah dalam kehidupan, selain menguatkan semangatnya dalam mengejar impian.

Muhammad Zuki salah seorang dari lebih 3,600 pelajar baharu USM yang mendaftar bagi mengikuti pengajian bagi sidang akademik 2016/2017 dan beliau memilih untuk mengikuti program pengajian Pendidikan (Pendidikan Khas).

 

Teks: Marziana Mohamed Alias

Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 3585

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024