CHE’ MAT JUSOH RAJA REBAB – BERJUANG PERTAHAN MUZIK TRADISIONAL MELAYU
Dia tidak meminta dihargai, jauh sekali dikenang dan dinobatkan sebagai seorang tokoh. Seniman rakyat ini berjuang lebih setengah abad untuk pertahankan kesenian Melayu, jati diri yang seharusnya diwarisi dan difahami. Kebahagiannya ialah apabila mereka yang belajar darinya membuat persembahan dan berupaya meneruskan perjuangannya.
Bercakap dengan seniman ini, kita dapat merasai kentalnya semangat beliau yang sangat mencintai permainan tradisional sejak usia remajanya dengan menguasai permainan muzik tradisi wayang kulit, makyung, gamelan, kompang, muzik asli, rebab, gendang dan tetawak, kompang dan hadrah. Malah beliau seorang tukang yang mahir membuat patung wayang kulit, membuat rebab, serunai, membaiki alat permainan tradisional dan tuning gamelan dan caklempung.
Menariknya ialah beliau yang terkenal dalam kalangan peminat permainan tradisional sebagai Che’ Mat Raja Rebab ini telah berjaya membuat perubahan terhadap sistem penjarian menggunakan note muzik dan mencipta rebab baharu mengguna kaedah baharu.
Che’ Mat Jusoh, 62, mendakwa beliau satu-satunya pemain rebab yang masih ada yang boleh menguasai lagu-lagu lama yang orang lain tidak dapat memainkannya lagi.
Che’ Mat Jusoh memulakan kerjayanya dengan Universiti Sains Malaysia (USM) pada November 1978 dan kemudiannya dilantik sebagai Jurulatih Kebudayaan pada tahun 1979 sehinggalah bersara pada tahun lalu setelah 37 tahun berjuang sebagai seorang seniman yang mengajar begitu ramai mahasiswa sama ada dalam kuliah rasmi mahu pun sebagai pengajar ko-kurikulum. Kini dilantik secara kontrak di Pusat Pengajian Seni USM.
Beliau banyak berjasa kepada USM yang amat dekat di hatinya. Beliau banyak membantu bahagian drama teater dan bahagian seni muzik termasuklah kuliah-kuliah yang diajar oleh tokoh seni terkemuka negara Profesor Emeritus Mohamad Ghouse Nasuruddin.
“Seronok melihat anak-anak muda dahulu yang belajar bermain muzik tradisional walau pun kurang kemudahan tetapi belajar kerana minat mendalam mereka berbanding dengan sebagai mahasiswa hari ini yang sesetengahnya seolah-olah terpaksa mengikuti kerana memenuhi keperluan pengajiannya,” kata Che’Mat Jusoh.
Beliau turut menyumbang penulisan dalam majalah Pentas terbitan Istana Budaya yang sesetengahnya tidak terdapat dalam penulisan akademik.
“Saya hanya berharap untuk terus perturunkan ilmu kepada orang-orang muda sebagai kesinambungan dan merasa amat puas apabila mendengarnya dan itulah upah sebenar yang bermakna kepada saya,” kata Che’ Mat Jusoh.
Baginya, usaha mempertahankan muzik tradisional ini penting sebagai satu warisan dan identiti bangsa kerana terdapat banyak falsafah yang tersembunyi di sebalik permainan tradisional yang tidak difahami ramai, misalnya sebelum bermain wayang kulit terdapat pohon beringin yang mempunyai lukisan pelbagai perkara tentang dunia dan isinya.
“Seni itu umpama pisau, bergantung kepada niat dan penggunaannya dan kita perlu lihat dan memahami setiap maknanya di sebaliknya yang bagi sesetengah orang cepat menghukum dengan tafsiran yang tertentu,” jelas Che’ Mat apabila ditanya tentang pandangan yang menganggap sesetengah permainan tradisional bertentangan dengan agama.
“Cita-cita utama saya ialah jika selama ini rebab dimain secara solo saya mengimpikan agar dimainkan secara ramai, secara orkestra seperti mana serunai yang kini dapat dimainkan secara beramai-ramai, kerana itu saya ciptakan note supaya dapat rebab juga dapat dimain ramai-ramai,” kata Che’ Mat Jusoh tentang hasrat hatinya yang belum tertunai.
Anak kelahiran Kampung Jelawat Kelantan, Che’Mat membesar dengan permainan tradisional di kampungnya, dengan melihat rakan-rakan sepermainan yang rancak bermain pelbagai permainan tradisional termasuk wayang kulit.
“Di kampung ketika itu terdapat banyak permainan tradisional yang dari situlah minat timbul apabila ramai pula yang mengajar, terutamanya dari dalam kalangan para penggiat permainan tadisional ketika itu,” kata Che’ Mat, anak bongsu dari empat beradik ini.
Bapanya adalah seorang pesawah, tetapi Che’ Mat tinggal bersama ibu saudaranya yang mempunyai anak yang telah besar dan tidak lagi tinggal bersama.
Che’ Mat bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jelawat dan kemudiannya Sekolah Menengah di Bachok bersungguh-sungguh mempelajari permainan tradisional sejak berusia 14 tahun.
Ditanya tentang kemungkinan mewarisi minat dari keluarganya, Che’ Mat menjelaskan yang datuknya sememangnya terlibat dalam permainan tradisional wayang kulit.
“Saya juga sangat berminat pada mulanya dengan muzik wayang kulit dan berguru dengan ramai orang bermula dengan misalnya Wak Daud dan Ariffin Mohamad mengajar cara kampung dan sangat memang mahir,” kata Che’ Mat mengingati kisah lamanya.
Namun yang benar-benar serius mengajarnya ialah Ayob Ismail atau dikenali sebagai Pak Ayob, yang pernah bertugas sebagai pegawai kebudayaan USM. Kebetulan Pak Ayob tinggal sekampung dengannya yang pernah menjadi guru dan kemudiannya menjadi Pegawai Kebudayaan di daerahnya.
Pak Ayob melihat ramai anak-anak muda di kampungnya yang berminat dengan permainan kebudayaan lalu ditubuhnya kelas untuk meneruskan minat yang ada.
“Pak Ayoblah yang banyak mencelikkan saya dengan permainan alat muzik makyung dan wayang kulit hingga hari ini, bermula sekitar tahun 1968 setiap hari belajar di rumahnya dengan mempunyai sistem tertentu sesuai dengan kedudukannya sebagai bekas guru hingga menubuhkan Kumpulan Melati Wangi di bawah naungan Pejabat Kebudayaan Negeri Kelantan sehinggalah tahun 1971 diberi peluang untuk bersama Kumpulan Seri Temenggung Kota Bharu sebagai pemain muzik,” cerita Che Mat lagi.
Menariknya, Pak Ayob mengajar Che’ Mat bermain rebab sehingga dapat mengatasi caranya bermain lalu diminta untuk meneruskan pelajarannya dengan tokoh budayawan Kelantan yang terkenal ketika itu Raja Hassan Raja Ibrahim seorang pemain rebab lulusan Akademi Kg Temenggung Kelantan, seorang kerabat diraja sebelum perang dunia kedua dan mereka yang berguru dengannya dianggap sebagai pengiktirafan untuk bermain di luar. Ce’Mat Jusoh berpeluang mendalami kaedah bermain rebab dan mempelajari lagu-lagu makyung lama yang kian pupus.
Che’ Mat Jusoh turut menganggotai Kumpulan Sri Temenggung sebagai pemain muzik tradisional dan belajar dengan Ketua Makyung Che’ Kemala, Abdullah Awang serta beberapa orang guru lain sehingga terpilih mewakili negara untuk pertama kalinya ke Festival Ramayana Ke-3 di Indonesia Surabaya.
Setelah selesai sekolah menengah sekitar tahun 1972 Che Mat berpeluang bekerja dengan Kementerian Kebudayaan sebagai pemain muzik di Taman Budaya Jalan Ampang dan berpeluang mewakili negara hampir ke seluruh dunia seperti Singapura, Indonesia, Jepun, Myanmar, Thailand, Korea Selatan, Britain, Australia, Kuwait, Australia, Perancis, Vietnam dan pelbagai negara lain.
Che’ Mat juga berpeluang berguru dengan beberapa orang pemain akordian dan biola yang menjurus kepada lagu-lagu Melayu asli di samping meneruskan minatnya terhadap muzik rebab, gamelan, wayang kulit, dan muzik Barat serta pernah bermain Cello dengan Orkestra Akma di bawah Kementerian Kebudayaan.
Beliau boleh membaca note muzik yang dipelajarinya dari Pak Ayob dan lulus peperiksaan Royal Music London sekitar tahun 1978.
Che’ Mat juga pernah berguru secara tidak formal dengan lagenda biola terkemuka negara, Allahyarham Hamzah Dolmat dan akordion dengan Abdullah Sheiikh Mohamed sekitar tahun 1977-78 semasa di Kuala Lumpur.
“Saya sangat mengkagumi Hamzah Dolmat yang sampai sekarang tidak ada penggantinya apatah lagi ketika mengikuti allahyarham dan memerhatikan cara beliau bermain biola dengan cara dan penghayatan bermain biola Melayu asli dengan perasaan yang sukar digambarkan dan tiada tandingannya,” kata Che’ Mat tentang Hamzah Dolmat.
Che’ Mat Jusoh juga berpeluang bermain gambus bersama-sama pemain gambus lagenda negara Allahyarham Fadzil Ahmad yang juga menjadi idolanya.
Che’ Mat Jusoh yang berkahwin pada tahun 1979 dengan gadis pilihan keluarganya dari Kelantan kini mempunyai tiga orang anak yang kesemua perempuan. Sayangnya tidak ada dalam kalangan puterinya yang berminat meneruskan kerjaya seninya. - Teks: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 6384