SKAM29 BUKA PELUANG KOLABORASI PAKAR-PAKAR DI PERINGKAT GLOBAL
PULAU PINANG, 28 Ogos 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Persatuan Sains Analisis Malaysia (ANALIS) telah berjaya dalam penganjuran Simposium Kimia Analisis Malaysia ke-29 (SKAM29) baru-baru ini di Pulau Pinang.
Menurut Pengerusi SKAM29, Dr. Mohammad Anwar Mohamed Iqbal, penganjuran SKAM29 yang berlangsung dari 15 Ogos 2016 hingga 17 Ogos 2016 memberi peluang para peserta lebih masa untuk berbincang dan berjaringan antara satu sama lain.
“SKAM29 memperolehi penyertaan dari pakar-pakar dalam bidang kimia analitikal, biokimia, bioperubatan, kimia farmaseutikal, kejuruteraan dan yang berkaitan dalam simposium kali ini," katanya.
Mohammad Anwar juga berharap selain menjadi medan perkongsian ilmu, perjumpaan pakar-pakar dan pemimpin industri ini juga mampu membuka lembaran peluang kolaborasi pengkomersilan dan pembiayaan penyelidikan masa hadapan.
Antara penceramah jemputan luar negara yang terlibat adalah Prof. Madya Dr. Lee D. Wilson dari College of Arts and Science University of Saskatchewan, Kanada; Dr. Herzog Gregoire dari University of Lorraine, Perancis; Prof. Dr. Minoru Umeda dari Nagaoka University of Technology, Jepun; dan Prof. Madya Chanbasha Basheer dari King Fahd University of Petroleum & Minerals, Dhahran, Arab Saudi.
SKAM29 merupakan forum tahunan yang mengumpulkan para saintis, penyelidik, jurutera dari dalam dan luar negara untuk mempamerkan penyelidikan mereka di samping membincangkan perkara berkaitan kimia analitikal dan perkara yang berkaitan.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 817