USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR BAHARU DISERU BURU KECEMERLANGAN

untitledghjkg

KUBANG KERIAN, 28 Ogos 2016 - "Para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan yang memasuki alam pengajian di universiti bukan sahaja melalui proses peralihan dari alam persekolahan ke alam universiti tetapi juga peralihan dari segi daya fikir dan minda," kata Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM ketika majlis bersama kira-kira 600 orang pelajar baharu Kampus Kesihatan yang mendaftar diri pagi ini di sini.

Mafauzy menyeru mereka berusaha mencapai kecemerlangan ilmu dan universiti sekaligus memberi sumbangan bakti kepada agama, masyarakat, bangsa dan negara.

Mafauzy juga berkata, para pelajar mestilah bersedia dengan minda yang terbuka, untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan budaya dan iklim pembelajaran di universiti ini sambil menghormati dan mematuhi perlembagaan, undang-undang, peraturan dan nilai-nilai teras yang diamalkan di USM.

untitledyjy

"Saya juga mengharapkan agar para pelajar memupuk sifat-sifat serta nilai-nilai kepimpinan, keusahawanan, inovasi dan cakna kepada permasalahan masyarakat setempat," katanya lagi.

Beliau juga menyeru supaya para pelajar mengetengahkan sifat intelektual dengan sentiasa ingin tahu, malah digalakkan mengambil pelbagai modul dari pusat-pusat pengajian yang berbeza untuk mengenal pasti bakat serta kemahiran mereka yang terpendam.

Katanya lagi, adalah amat penting untuk mahasiswa-mahasiswi merentas sempadan disiplin pembelajaran kerana ilmu pengetahuan baru sering kali boleh ditemui di persimpangan disiplin yang berlainan.

"Di samping mengutamakan kecemerlangan akademik, para pelajar perlu menjana nilai tambah ilmu, pengalaman dan kemahiran berkomunikasi di antara satu sama lain dengan menyertai pelbagai kegiatan ko-kurikulum di USM.

“Saya percaya semua sudah bersedia dan teruja untuk memulakan pengajian pilihan dengan penuh semangat, meneroka pelbagai peluang ilmu, pengalaman, memperkasa bakat kepimpinan, pengkajian, keusahawanan dan mencapai impian untuk menjadi insan yang holistik agar setelah tamat pengajian nanti, semuanya akan menjadi graduan USM yang serba boleh dalam pelbagai bidang.”

Beliau juga berharap agar pelajar dapat membentuk disiplin peribadi yang luhur, akhlak yang mulia dan menjadi pakar dalam bidang keilmuan duniawi dan ukhrawi, menjadi individu yang proaktif, berdaya tahan, berfikiran terbuka, mempunyai sikap kepimpinan dan peka terhadap perkara semasa dan memiliki sikap siap sedia dalam bertindak balas dengan apa jua cabaran yang mendatang serta berpaksikan kepada teras APEX untuk kelestarian hari esok.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Mohd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 642

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024